~ Jauhi Malu Untuk Berubah ~


"Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan beberapa orang lelaki. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,"
"Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan. Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat. Aku terhimpit,"
"Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,"
Iman Itu Masih Ada
Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat.
Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?
Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah. Asal niat betul.
Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.
Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?
Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini bukan marah tetapi tegas dan semangat!.
Cipta Masa Depan
Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh.
'Qada muallaq' iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh mana usaha dan doa.
Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua lorong.
Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan tabiat menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat lama.
Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.
Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri.
Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain. Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah 'sunnatullah'.
Buat Dirimu...
Sahabatku, usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah persiakannya!
Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan?
Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan orang lain, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya bersama air mata taubat seorang hamba!
Motivasi Dari Kisah
Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.
Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.
Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.
Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif dalam program keagamaan.
Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?
Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang. Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.
Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.

Kesimpulan
Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.
Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini, yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan semangat dan kekuatan.
Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh.

~ Bersyukur Dengan Kekurangan ~


"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, 7)
Kebiasaannya, bila kita dikurniakan nikmat, rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan; apa yang kita akan lakukan?
BERSYUKUR!
Ya, itulah yang seharusnya.
Tapi... bagaimana pula kalau kita di berikan kekurangan, kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. Berapa ramai yang bersyukur?
Saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur bila ditimpan ujian. Mungkin dalam 100% hanya  5% yang bersyukur dan berlapang dada bila ditimpa ujian.
Sedarkah kita... beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan.
Fiman Allah SWT:
"Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa - memelihara dirinya dari kejahatan." (Surah Al-Baqarah, 177)
Saya pasti kalian mesti pernah dengar kata-kata ini:
"After every storm there is a rainbow."
Selepas setiap guruh, adanya pelangi.
Walau apa juga ujian yang diturunkan, kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Allah.
Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat, asalkan hidup mendapat berkat.
Fikrkan setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan lemah dan tidak sempurna.
Ingat bahawa kekurangan itu hebat. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan keberkatan tertentu.
Ingatlah,
Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri (saling lengkap melengkapi). Mereka yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan lain-lain.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. Janganlah kita hina kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu.
Kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
Dan ingatlah, setiap kekurangan yang kita miliki merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujiaan itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?
Renung-renungkan.
Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaan-Nya; kebaikan mahupun keburukan.

"Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Surah Al Anfaal, 46)
Sebagai kesimpulannya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaan-Nya.

~ Mujahidah yang telah ke alam sana ~


DETIK-DETIK TERAKHIR SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR
(Mujahidah yang telah ke alam sana)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan kehadrat Allah swt. Blog yang telah lama saya tidak update akhirnya diminta isi dengan suatu hikmah yang besar dari seorang mujahidah yang telah pergi ke alam sana. Hasil penulisan ini sesungguhnya ditulis oleh ibunya yang tercinta, ibu kepada al marhumah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir (alfatihah). Semoga kita memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian ini. Selamat membaca.

______________________________________________________

6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami tidak mencukupi’

8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.

9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.

Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.

11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .

Lawatan Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Tiada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkannya, dia akan bersyukur. Pasti ada hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat-ayat suci kepadanya, dia kata
“Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?”
Saya terdengar seruan bersahut-sahutan dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti.
“Orang azan kot” tingkah saya.
Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur.
Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?”
“Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’

14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam. Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.

Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun. SUBHANALLAH.

Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami”Percaya”.
Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”
Sesekali dia tersenyum manis.
Kami tanyakan "kenapa senyum?”
Dia jawab…"Ada bau wangi sangat”.
"Selalu ke akak terbau macam tu?”
Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2 waktu sahabat ziarah”
Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.

15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher” lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.

16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.

Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”

Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi, Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa.
“Akak, jgn bimbang, kita orang Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” .
Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkap. Saya tanya, nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :
"Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.”
Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,”
Hajar Angguk. Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk. Dalam termengah2 dia berkata
"mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan”
"Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak katil Hajar ke ICU okid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.

18 Jan 2013 (Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja lagi 99%. Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.

19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir

20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya


SITI HAJAR

Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang bayang
Gelap walau di suluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah
Pabila HAKIKAT melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Darimu TUHAN pencipta Alam
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi iktibar
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah

~ Kami Di Sisi Mu Palestine ~



DOA
Jangan pernah kata kita tidak ada apa-apa boleh membantu saudara seagama kita di sana, kita punya tangan untuk berjihad, jika tak mampu membantu sebagai tangan berkemahiran dan berkuasa, gunakan tangan untuk menadah doa agar ditunjukkan kemusnahan israel laknatuAllah!!!

Do’a untuk GAZA, Palestine.

اللَّهُمَّ انصُرِ الإِسلام والمْسُلِمِينَ
اللَّهُمَّ انصُرِ المْسُلِمينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ
(اللَّهُمَّ انصُ
رِ المْسُلِمينَ فِي فَلَسطِين (3كالياللَّهُمَّ دَمَّر الكفَارَ واليَهُـودَ والنَّصَارَى والمْشُرِكِينَاللَّهُمَّ يَا اللّـه يَا اللّـه يَا اللّـه إِهزِمهُم وَانصُرناَ عَلَيهِم

Wahai Tuhan kami,
Berilah kemenangan kepada Islam dan Muslimin,
Ya Tuhan kami,
Berilah kemenangan kepada Muslimin di semua tempat,
Ya Tuhan kami,
Berilah kemenangan kepada orang Islam di Palestin (3x),
Ya Tuhan kami,
Hancurkanlah Kuffar, Yahudi, Nasrani dan Musyrikin,
Ya Allah,
Ya Allah,
Ya Allah,
Ya Tuhan kami,
Kalahkan mereka, Dan menangkan kami ke atas mereka.
Aamiin :’


BOIKOT

Boikot produk Yahudi ni satu langkah yang bodoh. Ekonomi kita jugak yang terjejas nanti. Anak-anak muda negara kita yang hilang peluang pekerjaan. Lagipun berkesan ke kat mereka kalau kita yang boikot? Ramai lagi yang masih memakai produk mereka, satu dunia!” kata manusia yang ‘bijak’ pandai.
Maka tersebutlah sebuah kisah dimana Nabi Ibrahim dibakar didalam api yang amat besar oleh Raja Namrud. Melihatkan kejahatan Raja Namrud, seekor burung kecil oleh disebabkan rasa sayangnya kepada kekasih Allah Nabi Ibrahim, ia lantas mengambil air dengan menggunakan paruhnya yang kecil dan dititiskan keatas api yang besar itu. Perbuatan burung kecil itu telah ditertawakan oleh burung2 yang lain.

“Usahamu itu hanya sia-sia, api yang besar itu tak mungkin terpadam dengan setitis air itu”, mereka mengejek. 
Lalu burung kecil itu membalas, “Aku percaya bahawa Allah tidak akan menanyakan kepadaku sama ada api itu berjaya dipadamkan atau tidak, tetapi Allah pasti akan bertanya apa yang telah aku usahakan untuk memadamkannya.”

Oleh itu, walaupun kita ini seumpama burung kecil tersebut, dalam usaha memerangi Yahudi laknatullah ini, ‘siramlah walau setitis air’ untuk memadamkan keganasannya. Carilah bukti dan saksi keprihatinan kita terhadap nasib umat Islam di hadapan Allah nanti.
Jika ingin dibandingkan dengan pengorbanan nyawa oleh saudara kita di Palestine itu, apalah yang seksanya sangat untuk kita menahan diri kita daripada godaan seketul ayam goreng dan satu cup pepsi.

~ Pelajaran Dari Puasa ~




Sebenarnya banyak perkara yang ingin Allah tunjukkan kepada kita yang kerdil ini dalam amalan berpuasa

Antara hikmah tersirat yang terpenting dalam menahan dahaga, lapar dan nafsu ialah minda kita kurang melayang ketika berpuasa kerana dahaga, lapar dan nafsu.

Oleh kerana itu, emosi kita lebih tenang, kerana minda tiada masa untuk bersangka buruk, memikirkan perkara – perkara yang lepas, membayangkan masa depan yang menakutkan kita kerana sibuk menahan dahaga, lapar dan nafsu secara tidak sedar dan sedar.

Ketika berpuasa, kita sentiasa hidup dalam “masa kini”, yang lepas tidak dikisahkan, yang akan datang tidak sempat difikirkan. Ketika pagi tidak terfikir petang, ketika petang tidak terfikir pagi. Dan masa inilah juga manusia lebih mudah mencapai ketenangan dan terasa diri kurang membazir masa.

Pada pandangan saya, itulah antara perkara tersirat yang dilatih pada diri kita oleh Allah ketika berpuasa.

Sekadar renungan, betapa ramaikah antara kita yang belajar dan juga membawa perkara tersirat ini yang dipelajari setiap bulan Ramadhan dalam kehidupan seharian?

Senyum selalu =)

~ Pantun Tutup Aurat ~

Baju nipis nampak bayang,

Peha gebu saja ditayang,

Lebih baik tak pakai baju senang,

Dah tentu boleh tunjuk terang-terang….


Baju ketat seluar sendat,

Pakai tudung ‘just’ ikat-ikat,

Dari mula memang bukan adat,

Disudut agama pun gaya tak berkat..


Tudung jarang baju nipis,

Pakai sikit boleh nampak ‘garis’,

Mata orang terbeliak, kita membengis,

Bila kena kutuk, kenapa menangis?


Lengan pendek blaus gantung,

Jeans ketat melekat dipunggung,

Jadi orang Islam ni sebenarnya beruntung,

Agama tak suruh berbungkus macam pocong….


Apa rasanya, kepala bertudung, kain terbelah,

Kalau takat rambut orang kurang ghairah,

Lain kalau peha gebu atau ternampak lurah,

Mata yang memandang boleh keluar darah….


Kebaya ketat, kain terbelah,

Ikat tudung macam tak sudah,

Nak ikut suruhan agama memang tak mudah,

Tapi Islam sebenarnya indah….



Tutup aurat bukan suruh berselubung,

Sampai tak nampak muka dan hidung,

Yang faham tuntutan amat beruntung,

Taklah bersungut mulut pun muncung…


Dah kalau mula minat nak bertudung,

Cubalah sesuaikan apa yabg disarung,

Kalau masih rasa jiwa tu ‘mendung’,

Maknanya nafsu tu belum dapat dibendung….


Bertudung itu bukan satu paksaan,

Ianya lebih kepada keinsafan,

Selalunya nafsu masih dikuasai syaitan,

Itu la pasal fesyen pun yang bukan-bukan….



Menutup aurat satu syariat,

Kepada agama kita taat,

Hidup berkat pahala berlipat-lipat,

Didunia selamat, di akhirat hebat…