~ Tiada lagi cinta di sisiku... ~

Ku cinta dia
Ku sayang dia
Biarpun dia tak sempurna
Namun engkau tetap ku puja

Kau pilih dia
Kau sayang dia
Tanpa memikirkan diriku
Yang dahaga kasih sayangmu

Tiada lagi cinta di sisiku
Berakhirlah sudah segalanya
Kau tinggalkan aku seorang diri
Engkau kini telah pergi
Tak kembali

Aku selalu mendoakan
Agaran kau kebahagia
Biarpun hatiku terluka
Di hadapan miliki dirimu

Oh Tuhan kuatkan hatiku
Untukku lupakan dirinya
Biarpun diriku tak sanggup
Untukku berpisah dengannya

Tiada lagi cinta di sisiku
Berakhirlah sudah segalanya
Kau tinggalkan aku seorang diri
Engkau kini telah pergi tak kembali

Aku selalu mendoakan
Agaran kau kebahagia
Biarpun hatiku terluka
Di hadapan miliki dirimu

Oh Tuhan kuatkan hatiku
Untukku lupakan dirinya
Biarpun diriku tak sanggup
Untukku berpisah dengannya

Kau pilih dia
Kau sayang dia
Tanpa memikirkan diriku
Yang dahaga kasih sayangmu

*khas untuk orang yang aku amat rindui...

~ Bagaimana Cara Terbaik Menenangkan Hati Yang Sedang Kecewa ~

kecewa

Hati sedang kecewa dan terluka? Hati sedang sangat lemah? Tidak tenang?
Didalam dunia ini, tiada siapa yang mahu merasa kecewa dan terluka. Apatah lagi menjadi lemah akibat daripada permainan perasaan ini. Merasa lemah dan tidak tenang sehinggakan air mata ingin sekali untuk menitis setiap waktu.
Cinta itu ada pasang surutnya. Setiap pertemuan pasti bertemu perpisahan.
Namun bukan semua masalah kekecewaan berlaku kerana percintaan & masalah jodoh. Ada juga yang kecewa mungkin kerana perkara lain. Boleh jadi akibat terluka dengan tindakan ibu bapa. Malah, mungkin juga berkecil hati dengan sikap anak – anak kita.
Pendek kata banyak perkara yang membuatkan hati kita menjadi remuk rendam dan membuatkan kita merasa lemah.
Menenangkan hati Kecewa
Kita ingin mengelak daripada kelihatan lemah. kita berpura – pura kuat. Kita tersenyum, tetapi dalam hati siapa yang tahu betapa peritnya hati kita. Sampai bila kita harus berpura – pura?
Ingatlah, kita semua adalah manusia. Manusia yang dikurniakan hati dan perasaan. Ada perasaan lemah & duka.
Mungkin disaat anda sedang membaca artikel ini, anda sedang merasa lemah dan kecewa. Hati anda merasa tidak tenang. Mungkin sahaja anda terjumpa artikel ini dari link FB ataupun tergoggle entri ini secara tidak sengaja.
Bismillah, izinkan saya berkongsi beberapa cara untuk menguatkan dan menenangkan kembali hati yang sedang lemah. Insyaallah, saya juga hamba Allah yang pernah mengalami situasi ini, semoga beberapa petua yang dikongsikan ini dapat memberi membantu anda juga.

1. Membaca Surah Yassin

Mungkin selama ini kita kurang membaca Al – Quran atau jarang sangat membuka kitab suci ini. Mungkin ini salah satu sebab kita mudah untuk terganggu dan merasa tidak tenang. Oleh itu marilah kita kembali menghidupkan amalan ini.
Semasa saya sedang mengalami “keserabutan” dulu, saya mengamalkan membaca surah Yassin setiap kali selesai solat. Alhamdulillah, setiap kali usai membaca Yassin, saya akan merasa tenang.
Memang surah ini mempunyai aura yang mampu menenangkan hati. Setelah itu, boleh beransur menambah bacaan dengan membaca surah – surah yang lain. Sangatt menenangkan hati
Bagaimana jika sedang haid? Dengarlah bacaan surah ini melalui mp3, etc..
2. Solat Sunat Tahajjud
Bangunlah melakukan solat malam iaitu solat sunat Tahajjud. Tujuan solat Tahajjud adalah untuk menguatkan jiwa dan mendapatkan ketenangan dalam menghadapi dugaan hidup. Amalan ini adalah antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat.
Usolli Sunnatal Tahajjud Rak’ataini Lilaahi Ta’ala, Allahu Akbar.” Sahaja aku Solat Sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala “
Pada rakaat pertama bacalah Al-Fatihah Selepas itu surah Al-Kafirun & Rakaat kedua bacalah Al-Fatihah, selepas itu surah Al-Ikhlas. Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam.
Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat.
Selepas itu berdoalah. Berdoalah apa sahaja. Adukan masalah kita direct kepada Allah. Mintalah ketenangan hati.
Jika anda kelu untuk berdoa, anda boleh amalkan doa ini:
اللهم اني اعوذ بك من الهم والحزن, واعوذ بك من العجز والكسل, واعوذ بك من الجبن والبخل, واعوذ بك من غلبة الدَّين وقهر الرجال
‘Allahumma innee A’oothu bika minal hammi wal hazan, wa a’outhu bika minal ajzi wal kasal, wa a’outhu bika minal jubni wal bukhl, wa a’outhu bika min ghalabatid deyni wa gahrir rijal.’
(Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kebimbangan dan kepiluan. Aku berlindung kepadaMu dari ketidakupayaan dan kelalaian. Aku berlindung kepadaMu dari perbuatan pengecut dan sifat kedekut. Dan aku mencari perlindungan dariMu daripada  hutang dan  penindasan manusia)
** tips supaya mudah nak bangun **
- Berwudhuk sebelum tidur
- Baca surah Al Mulk atleast 10 ayat (paling malas la tu..)
- Baca doa tido dan niat dalam hati “Ya Allah, aku memohon kepada Mu supaya bangunkan aku pada waktu paling afdhal untuk berdoa pada Mu
- Kunci jam
3. Banyakkan Istigfar Dan Berzikir
  • La haula wala quwwata illa billah (Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)
  • Hasbunallaah wa ni’mal wakiil (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya Pelindung)
 – Harus diingat, zikir bukan sahaja di mulut tetapi harus sampai masuk ke hati.
4. Elakkan Mendengar Lagu Bertema Kecewa – Kekecewaan
Ini penting kepada mereka yang baru sahaja mengalami putus cinta / tunang, sila hindari dari suasana yang boleh membuatkan anda sebak. Elakkan mendengar lagu yang bertemakan putus cinta & kecewa.
KIta ingin menenangkan hati, bukan ingin menyesakan hati kan? Jangan menabur garam diatas luka kerana ianya pedih. Biarlah dahulu luka itu sembuh :)
5. Sentiasalah mengingati Allah
Ini yang paling penting sekali. Sentiasa mengingati Allah. Yakinlah dengan sepenuh hati bahawa Allah maha mengetahui dan sentiasa bersama kita walaupun apa pun.
Apa yang membuat kita sedih, Allah lebih Maha Kuasa Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Yakinlah kesedihan dan rasa tidak tenang yang Allah beri itu adalah agar kita kembali mengingatiNYA. He loves you no matter what =)
“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” ( QS Ar Ra’d : 28 )Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” ( QS.At -Taubah : 40 )
Marilah berkongsi dengan saya bagaimana cara anda mengubati rasa pilu pada ruangan komen dibawah.. :)

~ Benar Kata Orang ~

alt
Benar kata orang. Apabila cinta terhadap manusia sudah menguasai hati, kita mudah diperangkap oleh tipu daya dan muslihat syaitan untuk menyesatkan manusia. Hati yang dahulunya mengatakan “cinta kerana Allah SWT” perlahan-lahan diulit tipu daya dan muslihat syaitan.
Cinta sebelum kahwin sememangnya mampu mengundang kepada lembah penzinaan. Hati mula lalai terhadap suruhan dan perintah Allah. Perlahan-lahan hati ini ditipu oleh syaitan. Niat pada awalnya ingin membimbing seorang wanita perlahan-lahan hanyut ke lembah penzinaan.
Puas ibu menasihati agar menjaga tingkah laku dan perbuatan apabila keluar bersama teman wanita yang aku merasakan kononnya bakal menjadi menantu kepada ibu. Solat yang pada dahulunya dilakukan pada awal waktu mula berubah kepada penghujung waktu kerana leka dengan berbalas pesanan mesej ringkas. Majlis-majlis agama yang dahulunya dihadiri mula ditinggalkan kerana ingin ber-chatting dengan teman wanita di laman sosial.
Tiada lain yang difikirkan melainkan hanya teman wanita sehinggalah pada suatu tahap hati ini mula sesak dengan desakan nafsu dan dosa. Percintaan yang pada dahulunya indah mula berubah menjadi hambar. Pergaduhan kerap berlaku yang akhirnya membawa kepada perasaan cemburu yang meluap-luap.
Syaitan benar-benar telah berjaya mengambil alih hati ini untuk dikuasai. Tiada lagi ayat-ayat Al-Quran yang dahulu kerap diamalkan. Hidup menjadi tidak tenang. Terasa seperti ada dua aliran di dalam hati. Hati ini semakin sesak dan lemas dengan dosa-dosa yang dilakukan.

Pemilik Hatiku

alt
Aku lukiskan dalam diam
Bahawa hatiku butuh sebuah penghargaan
Yang dijaga dan menjaga
Mata dan hati bernama hamba
Istikharahku kian jelas berbicara
Bahawa inilah keharusan
Mencari yang lebih kekal dan hampir
Sedekat-dekat telingaku
Takkan pernah jatuhkan aku
Takkan pernah lemaskan aku
Bahkan memeluk diriku penuh rindu
Melepaskan bisikan yang berharap
Biar sunyi selamanya sunyi
Hati ku takkan dimiliki
Kerna jiwaku yang mengingini
Melepaskan bisikan yang berderap
Suci tanpa hubung
Sirna bersama cinta Agung
Allahurabbi
Allahurabbul Izzati
Pemilik hatiku
Istikharahku menetapkan segala
Bahawa kanku lepaskan segala
Lalu tawakkal penyambung cerita
Menitislah air mata
Kujatuhkan penuh bahagia
Kuusap penuh rela
Pada cintaku terpelihara
Hadirnya dengan izin Maha Kuasa

Manisnya Berubah Menjadi Solehah

Izah mengirai-ngirai rambutnya yang masih basah. Diselak-selak sendiri dengan tangannya yang mulus. Kemudian, dilap kembali dengan tuala pinknya. Membalut, seterusnya menyanggul rambut ikal mayang basah nya itu.
Dia menapak ke sisi katil. Telefon bimbitnya digagau di bawah bantal. Ia berkelip. Ada dua mesej tertera. Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk dibuka. Izah duduk di tepi katil, lantas menekan butang ‘open’. Ada mesej dari Ikhwan, ada mesej dari Dzikry. Sambil senyum tipis, membaca sekilas mesej Ikhwan, Izah membiarkannya. Membuka pula mesej Dzikry, juga tersenyum tipis.
Izah berkeputusan membalas kedua-dua mesej tersebut. Sebetulnya sebelum mandi tadi, memang dia sedang bermesej dengan kedua-dua lelaki itu. Dia meletakkan telefon bimbit itu ke atas meja belajarnya. Mengambil losyen Nivea kemudian melumurkan ke bahu kanannya. Jam dari laptopnya berdenting sekali menandakan sudah pukul 7 malam.
Sambil meratakan losyen ke seluruh lengan kanannya, Izah menekan butang ‘reply’.
“X wat apa pun..baru siap mandi..”
Izah menekan butang send.
Pintu bilik diketuk perlahan. Salam halus kedengaran pintu bilik dikuak. Muncul Fasihah dengan senyumannya yang manis. Rambutnya juga dibalut dengan tuala, persis Izah. Cuma yang berbeza, Fasihah nampak manis dan sopan dengan baju kelawar bercorak batik labuhnya. Berlengan panjang santak ke hujung lengan. Warna biru laut yang ceria, dihiasi warna-warna pastel yang lain. Tompokan bunga pink, kuning, hijau epal dan lilac tambah menyerikan gadis itu. Sedang Izah ada di birai katil, dengan handphone di tangan, masih selesa berkemban dengan kain batik.
Fasihah cermat-cermat meletakkan baldi berisi bekas mandi dan peralatan mandinya bersebelahan baldi Izah di ruang kanan bilik itu. Kipas siling di bilik itu berpusing ligat. Fasihah lantas meleraikan balutan rambutnya. Terurailah rambutnya yang ikal mayang berkilat santak ke punggung itu. Dia mengambil sikat dan menyikatnya perlahan. Usai merapikan rambut, dia terus menyarungkan jubahnya. Anak telekung dipakai, dan telekung solat disuakan ke mukanya. Dia membuka lokernya, menyorong laci seterusnya mengeluarkan sepasang sarung kaki coklat yang baru. Menutup pintu loker seterusnya mengenakan sarung kaki tersebut.
Izah terus-terusan menghadap handphonenya. Fasihah melihat wajahnya sekilas di cermin. Jam berdenting sekali lagi dari laptop Izah menandakan sudah pukul 7.15 malam.
“Ahh..aku perlu cepat. Tak lama lagi azan akan berbunyi. Nanti tak sempat pula nak beriktikaf dan solat sunat qabliyyah,” bisik Fasihah.
Fasihah senyum sekilas pada Izah. Izah hanya membalas dengan pandangan kosong. Fasihah terus keluar dan menutup pintu cermat-cermat, dengan Al-Qur’an hijau kesayangannya di tangan kanan. Tanda tanya timbul dalam hati Izah.
“Aik..selalunya dia ajak aku ke surau bersama.. Em, takpelah..bagus jugak. Takdelah aku serba salah nak cari alasan.. Peliknye..nak pi surau je, dekat je pun..nak pakai stokin jugak..hai..” Izah senyum sinis sambil terus menyambung menaip pesanan ringkas.Dzikry menunggu di hujung sana.
Tepat pukul 9.30 malam, Fasihah pulang dengan menjinjit beg plastik. Masih dengan senyumannya, dia hati-hati meleraikan telekung solatnya yang sedikit biru nila itu. Usai disangkut di hanger, lantas menggantungnya di hujung katil, Fasihah menyuakan bungkusan itu pada Izah yang leka mengadap laptopnya. Ada bunyi deringan menandakan mesej masuk. Bunyi mesej YM.
“Zah, jom makan sama-sama. Ada biskut raya. Amalina yang bagi, dia ajak singgah ke biliknya lepas solat Isya’ tadi. Baik sangat dia, padahal baru kenal tadi.”
Izah berpaling sekilas sambil senyum.
“Emm, takpelah. Kite dah makan petang tadi. Awak makanlah. Malam kite tak makan sangat..takut badan naik..haha,” jawab Izah berbasa-basi.
“Owh..ye ke..baguslah. Doktor, mesti jaga kesihatan kan..” Fasihah senyum ceria.
Fasihah mengambil sekeping biskut Almond London, menyuakan ke mulut. Getaran Bismillah kedengaran halus. Usai mengisi lebihan biskut ke dalam tabung biskut di rak teratas, Fasihah mencapai buku teks Usul Akhamnya. Duduk mengadap ke arah kiblat, Fasihah membuka buku tersebut dengan bacaan Bismillah.
“Eii.. tolongla jangan panggil aku Zah. Macam nama orang tua je.. Em, hairan aku. Ramai betul kawan dia. Kejap Sumayyah, kejap Suhaila, kejap Aina, kejap Amalina..mm..apa-apa jelah…” gumam Izah di dalam hatinya.
Pukul 11.30 malam, Fasihah beberapa kali menguap. Izah masih tekun di hadapan laptopnya. Facebook sedang dilayari. YM masih terus dilayani, malah tambah rancak berbunyi.
Fasihah bangun mengambil baldinya. Dia keluar ke tandas yang berada selang beberapa bilik dari bilik kediamannya, D643. Usai memberus gigi, membersih muka dan meratakan air wudhu’, dia menapak ke biliknya.
Fasihah membuka mushaf kesayangannya, menyelak tali oren, tempat tanda Surah Al-Mulk. Usai membaca habis surah itu perlahan-lahan, dia menutup mushaf itu, mengucup, mencium dan meletakkan ke dadanya. Erat.
“Zah, hah tidur dulu ea. Em, Zah jangan tidur lewat sangat tau… nanti ada black circle.. nanti hilanglah keayuan Zah..hehe..”
Izah senyum pada Fasihah.
“..Baiklah.. kite pun dah ngantuk jugak ni..”
Fasihah sudah lena dibuai mimpi. Dia tidur mengadap kiblat, dengan rusuk kanan berada di bawah. Desahan nafas halus berirama perlahan.
Pukul 12.30 malam, Izah masih di hadapan laptopnya.
“Ahh..belum solat Isya’ lagi..tapi ngantuk la pulak.. Em..tidur dululah. Bangun pukul 4, baru Solat Isyak..”
Izah terus merebahkan badannya ke atas tilam empuk bercadar pink bunga merah itu, sambil menetapkan alarm telefon bimbitnya pada pukul 4 pagi. Tidak lama untuk dia mula belayar di lautan mimpi…
Pukul 3 pagi, Fasihah bangun. Menyucikan diri, menyucikan hati dan nawaitu. Menyegarkan diri dengan air wudhu’, Fasihah mengenakan telekung solatnya. Sengaja dia menggantung telekung di hujung katilnya, agar terbangun sahaja, dia dapat melihat telekung itu seraya mengingatkan dirinya untuk solat malam.
Ahh.. solat malam. Nabi Muhammad S.A.W yang maksum, dicintai Allah dan pasti masuk syurga itu saja solat hingga bengkak kakinya. Sedang aku ini.. Maksum? Jauh sekali. Dicintai Allah?? Tak pasti… Syurga?? Ahh.. aku yang hina begini.. entah lah Ya Rabbi. Justeru itu.. izinkan aku bangun di dini hari-Mu ini.. meratap sendu di kaki-Mu Ya Ilahi Rabbi..memeluk bayangan-Mu Ya Habibi Qalbi.. bersimpuh tulus di hadapan-Mu Ya Naasiri..Ya Waliyyi..Anta Maqsuudi..Waridhaaka Mathluubi..
Sekejap sahaja air mata penuh di tubir mata Fasihah. Sendunya berlagu perlahan.. bimbang didengari teman sebilik. Dalam doa dia bertawakkal. Bulat, penuh. Usai berzikir perlahan, membaca Al-Qur’an barang tiga muka, solat witir, Fasihah merebahkan badan kembali, dengan mata yang masih basah.
Baru sahaja dia ingin melelapkan mata, handphone Izah berbunyi. Lagu Lady Gaga.
“Bunyi call? Atau alarm? Tapi biasanya kalau call… bunyinya macam lain..” Fasihah terkejut.
“Emm, pukul 4 pagi. Bangun bertahajjudkah?” Fasihah berteka-teki.
“Alhamdulillah..”
Sudah 3 kali handphonenya berulang dering. Namun Izah hanya bergerak-gerak tanpa memberi tindak balas apa-apa.
“Mungkin dia tidur lewat. Penat benar..” terka Fasihah.
Atas dasar sahabat, dan mungkin niat yang baik di disisi Izah, Fasihah menggerakkan Izah. Mungkin benar dia mahu bertahajjud, kasihan dia jika terlepas. Atau ingin mengulangkaji.. tidak kisahlah. Yang pasti tentu dia ada maksud tersendiri untuk bangun di dinihari itu. Jikalau tidak, masakan dia set alarm handphonenya.
“Zah.. Em.. Izah… Izah. Izah nak bangun ke?” Fasihah menyentuh kaki Izah lembut. Kemudian, Fasihah berhati-hati menggoncang bahu Izah.
“..Ha..Emm..Ya..Ya..” Izah menggosok-gosok matanya. Dia bangun dan duduk di birai katil. Mematikan alarmnya.
Fasihah kembali merebahkan badannya di katil. Cadar warna ungu muda itu dikemaskan sebelum dia merebahkan badannya. Dia tidak tahu bahawa Izah sebenarnya terlena kembali.
Tepat jam 5.30 pagi, Izah terbangun kembali.
“Aduh!! Solat Isya’!”
Mengerling handphonenya sekilas, Izah buru-buru ke tandas untuk mengambil wudhu’. Fajar Subuh akan menyinsing sekejap lagi.
Usai solat, itupun cuma 2,3 minit, Izah melepaskan kelelahannya yang berbaki.
“Ah..nasib baik sempat. Tak pasal-pasal aku kena ganti nanti… macam dua hari lepas…”
Bukan tak selalu Izah begitu. Qadha’ solat disebabkan kebiasaannya melewat-lewat dan menangguh-nangguhkan solat. Itupun jika rajin dan teringat. Sudahnya dibiarkan sahaja tanpa menggantinya. Dalam remang bulan dan cahaya lampu mejanya, Izah tertangkap pada helaan nafas halus. Cukup teratur. Ia begitu mendamaikan. Lantas Izah menyoroti pula wajah itu. Ia tambah mendamaikan jiwa.
“Tak banyak beza antara aku dan dia. Rambutnya ikal panjang, lebih kurang sama saja dengan aku. Aku lebih cerah. Aku juga lebih kurus dari dia. Tapi, kenapa dia sangat menawan hati? Renungan matanya bening dan cerah. Kalau aku pun dah fikir begitu, entah apalah pandangan dan fikiran lelaki lain. Agak-agaknya dia ada tak pakwe? Tak pernah sekali pun dia cakap pasal lelaki. Kalau kawannya datang, tak pernah pun bincang pasal topik tu.. habis-habis tentang kuliah-kuliah agama, usrah, isu-isu semasa… tarbiyyah…apa tu? Aku??..” Izah bermonolog dalam hati sendiri.
“..Waktu tidur, Fasihah lagi cantik. Sangat puas menatap wajahnya yang lembut dan bersih itu. Aku? Entahlah…Ahhhhh…” Izah membanding beza lagi. Menjerit kecil dalam relung hati sendiri.
Pandangan mata Izah tertancap pada tangan Fasihah. Lengan bajunya tersingkap ke paras siku. Ada garis di situ. Garis di pergelangan tangannya jelas kelihatan.
“Ah.. jarang sekali untuk melihat lengannya begitu, apatah lagi sering berkemban macam aku.. Ya Allah, dia sebenarnya sangat putih. Cuma tangannya je yang sedikit berlainan. Inilah bukti dia menutup auratnya dengan baik sejak dahulu.. sedang aku? Selesa berlengan pendek ke sana ke mari..” Izah mula sebak.
Dia memandang kembali wajah Fasihah. Garis yang sama juga kelihatan di sekeliling wajahnya yang penuh itu. Ini kerana dia istiqamah dengan tudung labuhnya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menurut foto yang dilihat Izah di atas meja belajar Fasihah.
“..Ya, dia sebenarnya lebih putih dari aku.. lebih cantik dari aku. Aku sahaja yang perasan lebih sebelum ini. Tapi aku akui melihat dia mengenakan telekung solat atau tudung labuhnya, begitu mendamaikan jiwa..”
Izah segera teringat. Waktu itu Fasihah tertinggal bakul bajunya di bilik. Asalnya mungkin dia berkira-kira untuk membasuh baju tersebut. Ada dua helai semuanya. Jubah dan tudung labuhnya Kebetulan mungkin dia terdengar suaraku di bilik mandi itu. Ahh.. aku juga sebenarnya yang mulut luas, bising sahaja berborak dalam bilik air itu. Kebetulan aku terjumpa Zura, roomateku sesi lepas. Apa lagi, tentunya topik itu menjadi bualan. Aku tentang Dzikry dan Ikhwan, dan Zura kecoh sekali menceritakan mengenai teman chatting yang baru dikenali, Faiz. Baik dan romantik katanya.
Selepas Zura berlalu membawa bersama pinggan-pinggan dan mug yang katanya tidak berbasuh sejak dua hari lepas, Fasihah segera memanggilku dari dalam bilik air. Dia meminta tolong supaya mengambil bakul baju tersebut. Aku tidak kisah. Bukan aku tidak pernah meminta tolong darinya sebegitu.
Saat aku menyuakan bakul tersebut, dia membuka pintu bilik airnya. Dia berkemban, dan kelihatan agak kekok. Buru-buru dia mengambil bakul tersebut dan mengucapkan terima kasih padaku, lantas menutup kembali pintu bilik air. Sedang aku seperti tersihir. Dia amat cantik!!
Air mata Izah mula bertakung.
“Aku ini, nama sahaja Hafizah, Yang Terpelihara.. tapi tidak pun menggambarkan peribadiku.. entah apa yang terpelihara. Auratku kah? Pergaulanku kah? Ibadahku kah? Ahh..semuanya tidak!” Air mata Izah tambah melebat. Dia sedaya upaya menahan esakan tangisnya.
Dia merasa sudah lelah pada permainan dunia. Yang pasti, dia bukannya bahagia begitu. Ada juga dia berbincang-bincang dengan teman-teman se’kepala’nya. Hasil muzakarah, mereka mencapai kata sepakat : “Untuk apa menjadi hipokrit. Jadilah diri sendiri!” Awalnya dia bersetuju. Lama kelamaan dia mula goyah dengan doktrin itu. Itupun setelah bermesej dengan seorang ustazah, Ustazah Sakinah namanya. Ustazah Pendidikan Islam sekolah menengahnya dahulu.
Kata ustazah, “Hipokrit yang bagaimana dimaksudkan? Contohnya begini, kalau kita boleh memilih.. telur, beras, gred Exam umpamanya, mesti kita mahu yang gred A. Justeru itu juga dalam kita memilih halatuju hidup kita. Tentunya kita mahu semuanya yang terbaik, gred A. Ibadahnya, pergaulannya, pemakaiannya, semuanya gred A. Gred A dan sebagainya itu tentulah sudah ada dalam suluhan agama. Hanya kita selama ini yang hipokrit, memilih gred B, C dan sebagainya sedangkan hati kita sebenarnya mahu Gred A. Fitrah kita asalnya cenderung pada Gred A, kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah. Cuma kita yang menjadi hipokrit pada diri sendiri, menafikan kemahuan hati sendiri, ego pada kata hati sendiri!”
Selepas banyak berbincang dengan Ustazah Sakinah, aku seringkali memikirkan mengenai perkara ini. Cuma, untuk bertanya pada Fasihah, aku sebenarnya rasa malu. Dalam erti kata lain, egokah aku?? Ya, aku sebenarnya ego. Ternyata aku memandang rendah pada pelajar jurusan Pengajian Islam. Fikirku, aku jurusan Perubatan. Bagai langit dan bumi. Melangkah keluar sahaja dari universiti aku bisa memilih untuk bekerja di hospital manapun. Tiada istilah menganggur dalam kamus kehidupan seorang graduan perubatan. Namun aku lemah, aku kalah dalam menaksir makna sebenar sebuah kehidupan. Maka, jadilah aku seperti sekarang.
Mataku sudah menjadi umpama empangan yang pecah. Air mata tak tertahan lagi. Ternyata selama ini aku mengingkari fitrah, suara hati sendiri. Aku sebenarnya amat dengki pada mereka. Entahlah, susah untuk kugambarkan. Mereka manis dan sopan menjaga aurat. Persahabatan mereka bukan retorik, malah susah sekali untuk mendengar kata-kata kesat keluar dari bibir mereka. Apatah lagi untuk bergaduh, bermasam muka sesama mereka. Bergaduh kerana lelaki? Mempermainkan perasaan lelaki? Ah.. untuk mendengar nama seorang lelaki dari bibir mereka pun amat payah. Yang pasti, lelaki yang soleh tentulah untuk mereka. Mereka-mereka yang meletakkan agama dan Allah di tempat teratas, lebih dari segala-galanya. Sahabat, aku juga ingin sepertimu. Dalam ketenangan menghadapi hidup ini….
Di saat itu aku merasa akulah insan yang hina di hadapan Fasihah. Apatah lagi, aku merasakan akulah manusia yang paling kerdil dan hina di hadapan Allah. Umurku sudah 22 tahun, seperti juga Fasihah. Namun aku amat pasti, dia sudah jauh belayar ke lautan cinta Allah, dan mungkin sudah sampai ke pantai kemanisan iman. Sedang aku masih tersekat-sekat jauh di atas gunung sana. Muara masih jauh dalam genggamanku, apatah lagi untuk mula belayar di lautan cinta Ilahi dan tiba ke pantai kemanisan iman..
Fasihah bergerak-gerak. Aku segera menyapu air mataku, dan berpaling ke sisi lain. Fasihah bangun, melipat selimut, dan mengemaskan katilnya. Dia segera menuju ke bilik air bersama baldi dan tualanya. Tak lama kemudian, dia kembali ke bilik. Mengambil bakul bajunya. Azan Subuh berlagu syahdu bagi jiwa-jiwa yang hidup.
“Emm…… tak ke surau ke…..” tuturku lambat-lambat.
“Emm..tak boleh solat pulak. Baru je.. Cadang nak basuh baju.. kenapa Zah?” Fasihah terkejut.
“Haa…takde apa-apa..”
Fasihah berlalu, dan aku berbelah bahagi. Cadangnya aku ingin bersamanya ke surau. Aku merasa tak kuat dalam keseorangan.
Tiba-tiba aku bangun. Kekuatan menerpa ke dalam jiwaku. Lalu mulai saat itu aku tekad! Saat aku melangkah kaki ke surau, meninggalkan bilikku pada fajar yang hening itu, aku bertekad untuk meninggalkan jua segala fitrahku yang songsang. Walau aku harus sendiri, aku ingin merasa indahnya hidup bertemankan Allah dalam setiap langkahan kakiku, dalam setiap hela nafasku. Ya! Inilah jalan hidupku yang ku cari-cari.
Sedang dari jauh ada sepasang mata memerhatikan. Ada air hangat mengalir di situ…
“Sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah perhiasan.. dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah…”

~ Koleksi Hadis Tentang Sahabat ~

Moga berguna untuk pedoman :)


“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.”
(Hadis riwayat al-Hakim)

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,
“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.”
(Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”
(Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”


Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(surah al-Hujurat [049] ayat 13)

Ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.”
(Surah at-Taubah, ayat 119)


Hadis Rasululah SAW yang bermaksud,
“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.”
(Hadis riwayat Abu Daud).

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”


Telah bersabdanya Rasulullah SAW sebagaimana yg diriwayatkn oleh Al-Tirmizi yang bermaksud, seseorang itu akan terpengaruh dengan temannya. Maka hendaklah sesorang kamu itu memilih siapa yang harus dijadikan teman.

Telah bersabda Rasulullah SAW yang diriwayatkn oleh Al-Bukhari & Muslim: Maksudnya perumpamaan teman yg baik & teman yang tidak baik ialah umpama wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian, sama ada dia memberinya sedikit ataupun anda membeli daripadanya sedikit ataupun kamu dapat mencium dprdnya bau yang wangi. Manakala tukang besi, sama ada dia membakar bajunya ataupun kamu akan mencium dairpadanya bau-bauan yang busuk.



Daripada Abu Hurairah r.a. yang maksudnya, bahawasanya  ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan. Lalu malaikat itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?” Lelaki tersebut menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”. Malaikat bertanya lagi, “Adakah bagimu bumi kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?” Tidak, aku mencintainya kerana Allah SWT. Maka berkatalah malaikat itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau. Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia kerana Allah”. (Hadith riwayat Muslim).


Sahabat yang menunjukkn kebaikan kepada kamu, adalah sahabat yg baik. Dan sahabat yang menunjukkn kesalahan kamu, adalah sahabat yg paling baik


Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?


Pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya,
“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut.”
Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan  jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya) .
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.
Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam kitab al-Hikam ada menyebut,
“Jangan berkawan dengan seseorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.” Dalam satu hadis yang bermaksud, “Seseorang akan mengikuti pendirian (kelakuan) temannya, kerana itu tiap orang harus memilih siapakah yang harus didekati sebagai kawan (teman).”

Sufyan Astsaury berkata,
“Siapa yang bergaul dengan orang banyak harus mengikuti mereka, dan siapa mengikuti mereka harus bermuka-muka pada mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah seperti mereka pula.”

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:
Sahabat yang tamak   : ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta                                        yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
Sahabat pengampu    : Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.
Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.



Ali bin Abi Thalib r.a. berkata,
“Sejahat-jahat teman ialah yang memaksa engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan.”

Kemungkinan engkau berbuat kekeliruan (dosa), maka ditampakkan kepadamu segala kebaikan, oleh kerana persahabatanmu kepada orang yang jauh lebih rendah akhlak (iman) daripadamu.

Sebaik-baik sahabat
Dan sekiranya engkau berkawan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan dengan orang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang (menahan) hawa nafsunya.

Dalam sebuah hadis ada keterangan :
“Seorang itu akan mengikuti pendirian sahabat karibnya, kerana itu hendaknya seseorang itu memperhatikan, siapakah yang harus dijadikan kawan.”

Menurut ahli syair pula :
“Sesiapa bergaul dengan orang-orang yang baik, akan hidup mulia. Dan yang bergaul dengan orang-orang rendah akhlaknya, pasti tidak mulia.”
Bersahabat dengan yang lebih rendah budi dan imannya sangat berbahaya, sebab persahabatan itu saling pengaruh-mempengaru hi, percaya-mempercayai sehingga dengan demikian sukar sekali untuk dapat melihat datu memperbaiki kesalahan sahabat yang kita sayangi, bahkan kesetiaan sahabat akan membela kita dalam kesalahan dosa kekeliruan itu, yang dengan itu kita pasti akan binasa kerananya.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah SWT untuk mencari redha-Nya.

Taman2Syurga
"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong."
(An-Nahl ayat 105)

"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."
(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

~ Jauhi Malu Untuk Berubah ~


"Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan beberapa orang lelaki. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,"
"Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan. Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat. Aku terhimpit,"
"Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,"
Iman Itu Masih Ada
Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat.
Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?
Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah. Asal niat betul.
Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.
Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?
Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini bukan marah tetapi tegas dan semangat!.
Cipta Masa Depan
Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh.
'Qada muallaq' iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh mana usaha dan doa.
Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua lorong.
Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan tabiat menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat lama.
Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.
Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri.
Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain. Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah 'sunnatullah'.
Buat Dirimu...
Sahabatku, usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah persiakannya!
Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan?
Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan orang lain, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya bersama air mata taubat seorang hamba!
Motivasi Dari Kisah
Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.
Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.
Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.
Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif dalam program keagamaan.
Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?
Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang. Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.
Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.

Kesimpulan
Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.
Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini, yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan semangat dan kekuatan.
Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh.