~ Benar Kata Orang ~

alt
Benar kata orang. Apabila cinta terhadap manusia sudah menguasai hati, kita mudah diperangkap oleh tipu daya dan muslihat syaitan untuk menyesatkan manusia. Hati yang dahulunya mengatakan “cinta kerana Allah SWT” perlahan-lahan diulit tipu daya dan muslihat syaitan.
Cinta sebelum kahwin sememangnya mampu mengundang kepada lembah penzinaan. Hati mula lalai terhadap suruhan dan perintah Allah. Perlahan-lahan hati ini ditipu oleh syaitan. Niat pada awalnya ingin membimbing seorang wanita perlahan-lahan hanyut ke lembah penzinaan.
Puas ibu menasihati agar menjaga tingkah laku dan perbuatan apabila keluar bersama teman wanita yang aku merasakan kononnya bakal menjadi menantu kepada ibu. Solat yang pada dahulunya dilakukan pada awal waktu mula berubah kepada penghujung waktu kerana leka dengan berbalas pesanan mesej ringkas. Majlis-majlis agama yang dahulunya dihadiri mula ditinggalkan kerana ingin ber-chatting dengan teman wanita di laman sosial.
Tiada lain yang difikirkan melainkan hanya teman wanita sehinggalah pada suatu tahap hati ini mula sesak dengan desakan nafsu dan dosa. Percintaan yang pada dahulunya indah mula berubah menjadi hambar. Pergaduhan kerap berlaku yang akhirnya membawa kepada perasaan cemburu yang meluap-luap.
Syaitan benar-benar telah berjaya mengambil alih hati ini untuk dikuasai. Tiada lagi ayat-ayat Al-Quran yang dahulu kerap diamalkan. Hidup menjadi tidak tenang. Terasa seperti ada dua aliran di dalam hati. Hati ini semakin sesak dan lemas dengan dosa-dosa yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment