~ RESEPI DAKWAH -V- RESEPI BER’SUAMI’ ~


Sepanjang kembara saya dalam arena kerjaya, ada beberapa ‘pertemuan’ yang sangat istimewa untuk disajikan. Tetapi saya mahu memilih yang ini dahulu. Ia pasti bukan sebuah penemuan tapi sesuatu yang perlu difikirkan, dan saya baru terfikir-fikir. Bermula hanya dengan sesesi perbualan dan ia telah menghantar saya ke sebuah ta’amul yang maha dalam.
RESEPI DAKWAH V RESEPI JADI ISTERI
“ Kalau kamu tak percaya, cubalah duduk-duduk dengan ukhti kita yang dah kahwin, cuba dengar apa resepi mereka.” Seperti yakin sahaja dia mencabar saya. Kening saya bersatu. Kerut di dahi makin jelas.
“ Resepi apa?” Saya tidak mahu lagi membenarkan kerana belum pernah mengalaminya. Apatahlagi, ramai kalangan teman yang bersama saya belum lagi mahu berbaitul muslim. Sebabnya? Hanya kami yang memahaminya.
“ Dah hilang suara dakwah, dah pergi semangat jihad yang dulu dikobar-kobarkan. Yang tinggal resepi lauk pauk, resepi hias rumah, resepi jaga anak dan kadang-kadang sampai perkara ringan-ringan menjadi bahan duduk-duduk sahaja.”
 Dia menyambung. Keruh kaca matanya melambangkan ketidak puasan hati. runsing barangkali. Makin berbaitul muslim makin menghilang. Makin sirna semangat dakwah.
Beginikah? Atau hanya satu telahan semata-mata. Ada sahaja yang saya kenal, lagi sudah berpasangan, lagi ligat kerja dakwah. Tapi iyalah, dua tiga pasangan sahaja yang baru saya kenal. Saya cuba-cuba merisik ‘keadaan’ ukhti yang sudah kahwin. Kalau dulu tidaklah berminat untuk ‘menyibuk’ mengetahui perkembangan dakwah mereka yang telah berumah tangga. Tetapi kerana mahukan keyakinan, saya membuka langkah. Bermula daripada menyeluruhi beberapa weblog teman-teman daeiah yang telah berumah tangga, saya seakan menemukan jawapan, walaupun ia tidak semestinya tepat. Kalaulah ianya kebetulan, tetapi kebetulan yang begitu kena dengan ‘research’ saya.
Ta’ajub! Dari hiasan nuansa dakwah dan semangat jihad yang dulu menghiasi blognya, sekarang hanya tinggal kisah-kisah diari hidupnya bersama sang suami dan anak. Kadang-kadang hal berupa ‘acara’ rumah tangga yang tidak perlu dikongsikan juga mahu dipertonjolkan di entri-entri di blog. Kalau dulu blognya menjadi rujukan kisah para sahabat, kitab fiqh, maqalah dakwah..dan kini tergantikan dengan wajah-wajah comel para bayi kelahirannya mengikut pertukaran wajah bayinya setiap bulan. Apakah kematangan seorang manusia semakin berkurang seiring pertambahan umur dan pertukaran status. Hairan.
Pasti kalian bertanya, syadidnya saya? Salahkah nak kisah pasal suami atau anak? Itukan memang kerja orang perempuan?
Katakanlah. “ Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu,isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberi keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.”(at-Taubah:24)
TIDAK SALAH! TETAPI JANGAN JADI LEBIH KAMU CINTAI.
Siapa kata apabila menjadi ukhti, tinggalkan sahaja suami dan anak-anak tunggang terbalik di rumah. Yang si isteri atau si ibu sibuk keluar dakwah sana sini sampai tidak jenguk rumah. Makan minum entah ke mana. Dengan hujah, Surah Taubah :24 memberi pembelaan! Siapa kata? Dan juga sebaliknya, tidak salah kalau si ukhti mahu memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada rumah tangga kerana cintanya kepada keluarganya, tetapi..menjadi fitnah apabila mereka lebih-lebih diutamakan daripada ALLAH, RASUL, DAN JIHAD. Apa sudah berlaku di depan mata, suami menjadi alasan untuk menolak tawaran dakwah. Anak-anak menjadi asbab menguzurkan diri daripada amal dakwah, tetapi masa yang terluang boleh pula bercerita atau bersembang-sembang sana sini akan resepi-resepi dunia yang hukumnya ‘HARUS’ sahaja.
Pokok pangkalnya? Barangkali nikmat dakwah dan jihad itu telah beransur hilang. Ruh Khadijah, Aisyah, Nusaibah, dan Khansa’ sudah lenyap sepertimana pernah dikagumi si ukhti sebelum bernikah. Jika inilah yang dikhuatirkan oleh para ukhti bergelar aktivis, barulah saya memahami mengapa ada di antara ukhti yang apabila ditanya tentang nikah :
“ Saya akan bernikah, sampailah saya merasakan terpaksa bernikah..”
Hanyalah kerana keterpaksaan itu tidak akan sampai membuatkan kita jadi asyik bersuami dan beranak. Bukan kerana tidak ikhlas, tetapi terlalu runsing andainya nikmat berada di saff para nabi dan syuhada’ terkorban kerana ia dilarikan oleh kelekaan berumah tangga. Ia sungguh menyalahi surah taubah : 24. Saya sendiri tidak tahu mahu mula berfikir dari mana. Tidak semua yang akan menyokong pemikiran saya ini kerana ia mungkin berat bagi mereka yang memilih yang ringan dalam jalan hidupnya. Mungkin juga akan menuduh saya akan menjadi bakal isteri yang ‘nusyuz’ kepada sang suami lantaran mahu terus berada di saff hadapan dalam perjuangan menegakkan haq dan batil. Dan mungkin juga ada yang membayangkan, kasihanlah bakal anak-anaknya nanti punya ibu yang lebih mengutamakan dakwah dari keluarga.
DI SINILAH..
Saya sudah punya role model yang telah Allah berkahi keluarganya dengan keberadaannya memenuhi saff hadapan perjuangan dakwah. Di sinilah permulaan dalam menentukan siapa dia sang suami yang akan meredhakan pemergian isterinya mendekati para wanita di luar untuk diperkenalkan Islam kepada mereka. Di sinilah, siapakah lelaki yang harus dipilih supaya dialah yang mahu memahami bahawa isterinya juga dimiliki oleh Allah, Rasul dan agamaNya, bukan hak suami yang mutlak. Di sinilah, para ukhti yang merancang untuk terus maju sebagai pendukung agama ini, perlu berwaspada dalam menjalinkan pernikahan , kerana para aktivis yang memahami bahawa pernikahan adalah pelancar dakwah akan bermaharkan keizinan bakal suami untuk terus melajukan langkah dakwahnya ke hadapan biarpun telah berkeluarga!
Buat para suami, bakal suami, para ikhwan aktivis dakwah, kalian pasti memahami fungsi kalian dalam sebuah baitul muslim. Tidaklah para ukhti ini mahu melangkah ke sebuah marhalah dakwah yang seterusnya iaitu baitul muslim melainkan mahu sekali melangkah sebaris dengan kalian dalam menyempurnakan tugas ini. Bawalah isterimu bersama untuk terus menikmati jalan yang pernah para Rasul melaluinya. Semoga kita sama-sama dianugerahkan syurgaNya.

~ Rehatkan Hati ~


alt
Sungguh, benteng pertahanan terakhir kita kian rapuh. Saban hari saya menerima email atau panggilan yang menceritakan tentang rumah tangga yang hampir runtuh. Padahal saya sendiri masih terkial-kial bermujahadah untuk menjadi ayah, suami dan anak yang baik.
Kekadang saya tidak dapat memberi jawapan yang baru. Ini tentu menjemukan, kerana sahabat-sahabat perlukan pembaharuan pada jawapan. Apa yang mampu saya luahkan? Selain, mengulang-ulang apa yang pernah dipesankan oleh generasi salafussoleh terdahulu. Juga mengulang-ulang kata-kata yang pernah membujuk hati ketika saya sendiri diuji.
Sahabat dan saudaraku... jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan rebah... biar terhenyak tetapi tetap tegak walaupun terpaksa bertongkatkan dagu. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua... munajatnya dan nasihatnya!
Tidak semua yang bertanya dapat saya jawab secara khusus. Ada yang saya baca dan terus doakan. Ada yang saya baca, terus termenung... berfikir dengan kepala yang simpati dan dada yang empati. MasyaAllah, kita sering kalah. Namun, buat sekian kalinya kita berbaiah, kita sekali-kali tidak akan mengalah!
Lalu, diketika saat-saat dirimu dan diriku diuji, sudi apalah kiranya kita REHATKAN HATI...

Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa  hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah-kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?
Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar, sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?
Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  
Antara rasa-rasa itu ialah:
1.      Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah.
Firman Allah:
"Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51)."
Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, "bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini. " Hatinya tidak akan berkata, "kenapa aku, bukan orang lain?"
Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita 'memberontak', hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.
Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji? Kata Imam Ghazali rahimahullah, "cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!" Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.
Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja', "Inna lillah wa inna ilaihi raji'un."
Firman Allah:
"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. (Surah al-Baqarah 2:156)."
Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!
2. Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
Firman Allah: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)"
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan karenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah: "Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)"
Dalam apa jua keadaan – positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang. Firman Allah:  "Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana. (Surah al-Fath 48:4)"
Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa'ad bin Abi Waqqas: "Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya."
3.      Memahami maksud takdir Allah
Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can't direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan firman-Nya:  
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)"
Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik."
Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah "kalau" atau "jika". Hayati sabda Rasulullah saw ini: "Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: "Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: "Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,' kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan." (Hadis riwayat Muslim)
4.      Mendapat hikmah apabila diuji.
Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja."
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan 'perjuangan' melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah."
Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berrumah tangga. Bawalah hati kita berehat... dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, "rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!

~ Cinta sampai syurga ~

 
mahu atau tidak?
kita cinta sampai syurga
bukan sekadar dunia
mahu atau tidak?
kita bercinta sampai syurga
tiada yang menggantikan
antara kita
kerana cinta kita
CINTA SAMPAI SYURGA
Hidup bukan untuk main-main. Jauh lagi untuk suka-suka. Kerana bukan untuk semua ini, hidup ini adalah kerja berat, kerja maha serius untuk kita ambil peduli. Pada apa, dari mana, ke mana, mahu apa dan bagaimana untuk hidup adalah persoalan yang perlukan jawapan.
Suatu hari di café Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya dan dia meliar menyeluruhi gelagat para peguam. Pakaian hitam putih dengan timbunan fail kes di tangan adalah symbol penuh elit dan eksklusif. Waktu itu saya sedang menanti dokumen kes saya difotostat. Urusan ke mahkamah adalah hal yang tidak digemari oleh mana-mana peguam. Aneh bukan. Kerana ia melibatkan masa yang terbuang hanya kerana birokrasi yang menyemakkan. Rimas. Sungguh rimas. Dari kaunter tingakt 1 ke Kaunter Tingkat 2. Kemudian di pas semula ke kaunter 1. Kaunter 1 kata Kaunter 3 pula. Paling akhir, pegawai cuti. Datang lagi nanti.
Atau mungkin kerana saya peguam pelatih. Maka inilah pengalaman yang perlu saya lalui. Tidak tahu kaunter mana yang tepat sehingga masa habis begitu sahaja. Dokumen tidak cukup. Perlu ‘copy’ lagi dan ia melibatkan proses menunggu fotostat yang bukan sekejap. Semua ini adalah normal untuk peguam pelatih. Agar dia dapat biasakan diri dengan ragam mahkamah. Bila sudah jadi peguam nanti, semua itu despatch yang buat. Bukan ppeguam lagi. Itulah nasihat dan pandangan teman-teman peguam pelatih yang lain.
Bukan saya tidak faham. Ketahuilah yang saya faham sangat semua itu. Cuma, saya begitu ‘calculative’ dengan masa saya. Tidak mahu terbuang begitu sahaja. Kerana mungkin pantang besar saya adalah menunggu, lambat dan tidak serius. Bukan ertinya saya tergesa-gesa, tetapi tidak mahu waktu berlalu tanpa manfaat apa-apa.
“ Atiqah, adakah akak akan habiskan masa seharian begini untuk tempoh 9 bulan? Itu minimum waktu?”
“Kenapa akak Tanya macam tu? Akak yang nak jadi peguam kan? Memang inilah cara hidupnya.
“ Awak tengok, adakah akak akan menjadi sebahagian daripada mereka, masa banyak berhabisan di mahkamah kerana proses yang memakan waktu?”
“ Maksud akak apa? Ada cara lainkah untuk elakkan semua ni?
“ entahlah Atiqah, entah sampai bila akak boleh hidup di dunia ni. Walau ia untuk 9 bulan. Ia adalah masa. Atau akak orang yang tidak sabar, mahu cepat semuanya. Maksud akak, bagaimana akak boleh maksimakan masa akak betul-betul bermanfaat untuk orang lain, untuk dakwah. Jika seharian akak deal dengan dokumen, menguruskan satu dua kes, adakah cukup manfaat waktu akak itu?”
“ Akak, selesaikan kes orang kan ibadah juga. Akak niatkan ibadah. Maka ia akan berpahala juga.”
“ Ya, akak maklum semua itu. Yang sangat akak kisahkan, akak tidak jumpa bagaimana akak boleh maksimakan masa akak sepanjang menjalani latihan guaman ini untuk dakwah.”
Mak Cik kedai fotostat sudah memanggil. Semuanya tergantung di situ dan kami harus berkejar ke kaunter lain. Entah betul atau tidak nantinya.
SAYA KENA CEKAP….
Sebagai daei
Sebagai aktivis dakwah
Sebagai anak
Sebagai kakak
Sebagai saudara mara
Sebagai jiran
Sebagai pekerja
Sebagai kawan
Sebagai bakal pelajar
Sebagai bakal isteri
Sebagai bakal menantu
Sebagai bakal ibu
Sebagai bakal majikan
Sebagai dan sebagainya
Yang menuntut hak-hak mereka untuk dipenuhi tanpa berkurang sedikit. Ia menagih keadilan daripada saya agar semua tugasan di atas dapat diselesaikan sebaiknya. Ia memerlukan disiplin hidup yang ketat dan serius bukan main. Kata seorang syuyukh :
“AKHAWAT HARUS CEKAP. BIAR DAPAT JADI SUPER WOMAN. APA SAHAJA TUGASAN DAN HAK DAPAT DIPENUHI SEBAIKNYA. NANTI AKHAWAT SUDAH MENIKAH, LEBIH LAGI MENUNTUT KECEKAPAN AKHWAT. JIKA AKHAWAT LAMBAT MENINGKATKAN DIRI, LAMBAT MENAMBAH BEKAL DIRI, NANTI BANYAK BENDA AKAN TERCICIR. TARBIYAH ENTAH KE MANA, KERANA SIBUK MEMENUHI SEMUA HAK ITU. SEDANGKAN TARBIYAH ITU SEPATUTNYA SUDAH MENGAJAR AKHWAT BAGAIMANA UNTUK CEKAPKAN DIRI. AGAR DAKWAH TIDAK JADI FITNAH KEPADA SEMUA TUGASAN LAIN YANG JUGA AMANAH.”
Saya merenung jauh. Menerobos langit biru tujuh lapisan. Entah di mana fikiran saya mendarat. Barangkali di nebula paling kusut. Harus di mana saya mahu mulakan semuanya untuk membuat persediaan bagi melalui fasa sekarang dan fasa datang. Lagi berfikir, lebih seram sejuk urat nadi saya kerana khuatir sekali saya tidak dapat berikan sebaiknya untuk semua di atas kerana seakhwat apa pun saya, bahawa saya adalah M.A.N.U.S.I.A yang banyak lemahnya.
Maka untuk ibu ayah,murobbi, adik-adik, akhawat, dan bakal suami…
Kalian adalah yang terdekat dengan diri saya untuk memahami siapa saya untuk semua ini. Sokongan, dokongan dan toleransi daripada kalian semua adalah sebuah penghargaan yang tidak terhingga daripada saya. Di mana saya berada, apa amal yang saya lakukan, sudah awal-awal saya niatkan pahalanya untuk kalian semua. Untuk kita semua. Agar langkah kita akan seiring menapak ke dalam syurga tanpa ada yang tertinggal seorang pun. kerana CINTA KITA ADALAH CINTA SAMPAI SYURGA.

~ MENUJU KESOLEHAN PERIBADI & UMAT ~

Di sebuah masjid di perkampungan Mesir, suatu petang. Seorang ustaz sedang mengajarkan murid-muridnya membaca Al-Qur’an. Mereka duduk melingkar & berkelompok. Tiba-tiba, masuk seorang anak kecil yang ingin menyertai di lingkaran mereka. Usianya kira-kira 9 tahun.

Sebelum menempatkannya di satu kelompok, ustaz itu ingin tahu kemampuannya. Dengan senyumnya yang lembut, dia bertanya kepada anak yang baru masuk tadi, ” ada ayat yang kamu hafal dalam Al-Qur’an?”

“Ya,” jawab anak itu singkat.

” Kalau begitu, cuba bacakan salah satu ayat dari juz ‘Amma?‘ pinta ustaz

Anak itu mengalunkan beberapa ayat, fasih & betul tajwidnya. Merasa anak tersebut mempunyai kelebihan, guru itu bertanya lagi,“Adakah kamu hafal surah Tabaraka?” (Al-Mulk)

“Ya,” jawabnya lagi, & segera membacanya. Baik & lancar. Ustaz itu pun kagum dengan kemampuan hafazan si anak kecil itu, meski usianya lebih muda berbanding murid-muridnya yang ada.

Dia pun cuba bertanya lebih jauh, “kamu hafal surat An-Nahl?”

Ternyata anak kecil itu menghafalnya dengan sangat lancar, sehingga kekagumannya semakin bertambah. Lalu ustaz itu pun cuba mengujinya dgn surah-surah yang lebih panjang.

“Adakah kamu hafaz surat Al-Baqarah?”

Anak kecil itu kembali mengiyakan dan membacanya tanpa sedikitpun kesalahan. Dan ustaz itu semakin teruja dengan pertanyaan terakhir, “Anakku, adakah kamu menghafal Al-Qur’an ?”

“Ya,” jawabnya dengan jujur.

Mendengar jawapan itu, seketika ustaz itu mengucapkan, “Subhanallah wa masyaallah,tabarakkallah”

Setelah hari itu menjelang maghrib, sebelum ustaz tersebut menamatkan kelas mengaji, secara khusus dia berpesan kepada murid barunya,” Esok, kalau kamu datang ke masjid ini, tolong ajak juga ibubapa mu. Ustaz ingin berkenalan dengannya”.

Esok harinya, anak kecil itu kembali datang ke masjid. Kali ini dia bersama ayahnya, seperti pesan ustaz kepadanya. Melihat ayah dari anak tersebut, si ustaz bertambah kaget kerana gayanya tidak langsung seperti orang alim, kehormat & pandai.

Belum sempat dia bertanya, ayah si anak sudah menyapa terlebih dahulu, “Saya tahu, mungkin ustaz tidak percaya bahawa saya ini adalah ayah dari anak ini. Tapi rasa hairan anda akan saya jawab, sebenarnya disebalik anak kecil ini ada seorang ibu yang sekuat seribu lelaki. Dirumah, saya masih mempunyai 3 anak lagi yang semuanya hafal Al-Qur’an. Anak perempuan saya yg kecil berusia 4 tahun, dan sekarang sudah menghafal juz Amma”.

“Bagaimana si ibu itu boleh lakukan itu?” tanya si guru tanpa boleh menyembunyikan kekagumannya.”

Ibu mereka, ketika anak-anak itu sudah pandai bercakap, si ibu membimbing anak kami menghafal Al-Qur’an dan selalu memotivasi mereka melakukan itu. Tak pernah berhenti dan tak pernah bosan. Dia selalu katakan kepada mereka,

“Siapa yang hafal lebih dulu, dialah yang menentukan makan malam ini,

“Siapa yang paling cepat mengulangi hafalannya, dialah yang berhak memilih ke mana kita boleh bersiar – siar nanti”


Itulah yang selalu dilakukan ibunya, sehingga tercipta semangat bersaing dan berlumba-lumba antara mereka untuk memperbanyak dan mengulang-ulang hafalan Al-Qur’an mereka,” jelas si ayah memuji isterinya.

Sebuah keluarga biasa yang boleh melahirkan anak-anak yang luar biasa. Hanya seorang ibu yang biasa. Setiap kita dan semua ibubapa tentu bercita-cita anak-anaknya menjadi generasi yang soleh, cerdas dan membanggakan. Tetapi tentu perkara itu tidak mudah.

Apatah lagi membentuk anak-anak itu mencintai & mencintai Al-Qur’an. Memerlukan perjuangan, perlu kekuatan. Mesti tekun & sabar melawan rasa letih dan susah tanpa kenal batas. Maka wajar jika si ayah mengatakan,”Disebalik anak ini ada seorang ibu yang kekuataanya sama dengan seribu lelaki.”

Ya, perempuan yang telah melahirkan anak itu memang begitu kuat & perkasa. Sebab membuat permulaan yang baik untuk kehidupan anak-anak, adalah tidak mudah. Hanya orang – orang yang punya kemahuan & motivasi yang boleh melakukannya. Dan tentu modal pertamanya adalah kesolehan diri. Tidak ada yang lain.

Ibu si anak cerdas ini, dia adalah lambang seorang perempuan solehah yang mewariskan kesolehannya ke dalam kehidupan rumah tangganya. Dialah contoh perempuan yang pernah diwasiatkan Rasulullah saw kepada kaum lelaki untuk mereka jadikan pendamping hidup diantara sekian banyak wanita.

Dengan menangggalkan keutamaan harta, kecantikan & keturunannya, seperti sabda Rasulullah saw, “Wanita dinikahi kerana 4 perkara : kerana hartanya, keturunannya. kecantikkannya, & agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”(HR.Bukhari & Muslim).

Perempuan yang dikenalkan kepada kita dalam cerita diatas, dia sebenarnya tidak memulakan kerja kerasnya ketika anak-anaknya baru belajar bercakap. Tidak. Tetapi jauh sebelum itu, tenaganya telah ditumpahkan untuk mengakrabkan mereka dengan bacaan-bacaan Al-Qur’an semasa mereka masih janin.

Dalam keadaan kehamilannya yang berat, ibu ini hampir setiap hari selalu meluangkan waktu untuk membaca Al-Qur’an, memperdengarkannya janin yang ada dirahimnya, dalam keadaan berbaring, duduk/pun bersandar. Perjuangan itulah yang berat tapi itu pulalah yang kemudian memudahkan lidah anak-anaknya merangkai kata demi kata dari ayat-ayat Al-Qur’an, saat mereka sebenarnya baru mulai belajar bicara.


Semoga dari kisah diatas dapat kita ambil pelajaran & menjadikan teladan.

~ WARKAH BUAT HAWA.. ~

hawa..
andai engkau masih remaja,jadilah anak yanga solehah buat kedua ibu apamu,
andai engkau sudah bersuami,jadilah isteri yang meringankan beban suamimu,,
andai engkau masih ibu,didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din ALLAH..

hawa...
andai engkau elum berkahwin jangan kau risau jodohmu,ingatlah hawa janji Tuhan kita,wanita yang baik
adalah untuk lelaki yang baik.Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim
kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati,maka lahirlah senyuman maka tercetusnya salam dan sekaligus
disusuli dengan pertemuan,,takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri..

hawa....
Lelaki baik tidak melihat paras rupa,lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya,lelaki yang warak tidak menilai wanita melaliu keayuannya,kemanjaannya,serta kemampuannya mampu menggoncang iman lelaki.Tetapi lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya,,peribadinya,,dan yang paling penting pegangan agamanya.Lelaki yang baik juga tidak meninginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya.Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita yakni sebuah perkahwinan..

oleh itu hawa,,
Jagalah pandanganmu,awasilah auratmu,peliharalah akhlakmu,kuatkan pendirian mu.Andai ditakdirkan tiada cinta daripada adam untuk mu,cukuplah hanya cinta ALLAH memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu,,biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu,,cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang membahagiakan dirimu..

hawa...
Cintailah ALLAH dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga mencintai ALLAH.Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan ALLAH.Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.Janganlah sesekali tangan yang menggoncang dunia juga,yang menggoncang iman seorang lelaki.......

H.I.V – Hari Ini Valentine.



H.I.V
Hari Ini Valentine.
Satu cerpen yang saya tulis satu masa dahulu.
Merupakan salah satu cerpen dalam Kumpulan Cerpen Matahari yang telah terbit tahun lepas.
Enjoy!
:-)
Cinta padaku mahal
Kalau cinta mesti membawa ke syurga
Apa cinta kalau akhirnya ke neraka
Maka keredhaan Allah adalah dasar sebenar kepada cinta.
  
Kuliah tamat. Hari ini kuliah agak berat dengan aku mempunyai tiga kelas, dan ketiga-tiga kelas itu memakan masa satu jam setengah setiap satu. Kelas terakhir adalah pada pukul 2.00 petang hingga pukul 3.30 petang. Pembelajaran yang sepenuhnya di dalam bahasa arab membuatkan aku jadi sedikit letih. Belajar dalam bukan bahasa  ibunda memerlukan fokus yang lebih.
Hah…
Letih. Aku membiarkan dahulu pelajar-pelajar lain keluar dari dewan kuliah 401. Ilmu-ilmu yang ditumpahkan oleh Dr Asyraf Kinanah, Pensyarah Madah Tasyri’ Islami aku sebentar tadi seakan-akan bergantungan di hadapan mataku. Akalku memerlukan rehat. Justeru aku malas hendak berasak di kawasan pintu. Biarlah aku bertenang terlebih dahulu.
“Assalamu’alaikum…” Satu suara lembut menyapa. Aku memandang, dan kelihatan seorang perempuan arab yang berpakaian sopan, bertudung labuh serta berpurdah. Aku tidak pernah melihatnya, tetapi aku kenal akan namanya. Dia adalah pelajar yang aktif di dalam kuliah Tasyri’ ini, dan amat suka bertanya kepada pensyarah. Namanya adalah Rana Jameelah.
“Wa’alaikumussalam. Shu biddik?” Aku bertanya dalam bahasa arab pasar. Kamu nak apa?
“Hai chokolata. Laka” Ini coklat, untuk kamu. Dia menghulurkan kotak berwarna merah, terdapat reben yang terikat kemas pada kotak itu.
“Li? Li eish?” Untuk saya? Kenapa? Aku kehairanan.
“Yaumul Valentine” Hari Valentine. Dia menjawab dengan wajah tertunduk. Kemudian dia pantas meletakkan kotak coklat itu di meja lipat, kemudian bergerak pantas keluar.
Aku terkesima, memandang sahaja Rana keluar dari kelas, kemudian menghela nafas berat.
Ha…
Aku buka beg, kemudian mengambil kotak yang baru sahaja diberikan oleh Rana, lalu memasukkannya ke dalam beg.
“Valentine day ha..” Hari ini, 14 Februari, turut dinamakan sebagai Valentine Day. Nama melayunya adalah Hari Kekasih.
Dan aku tak sangka, di negara arab ini, 14 Februari turut disambut. Malah, wanita yang kelihatan amat solehah seperti Rana juga tidak terlepas. Manusia menganggap, inilah hari menterjemahkan cinta. Kononnya pada hari inilah cinta diagung-agungkan.
Tetapi untuk aku, nampaknya cinta telah direndah-rendahkan pada hari ini.
Sucinya cinta tercemar.
Mahalnya cinta tergadai dengan murah.


*********


Aku duduk-duduk di hadapan meja jepun di tengah ruang tamu rumah sewaku. Sebaik sahaja selesai solat asar tadi, aku membancuh teh dan minum petang. Cuaca yang sejuk membuatkan aku sedikit malas untuk keluar bersenam.
“Wah, untung la kau, ada minah bagi coklat” Satu suara menyapa, selepas bunyi engsel pintu bersama salam kedengaran.
Aku menoleh. Seorang lelaki bergerak ke arah coklat pemberian Rana yang kuletak atas meja. Sengih tergaris di bibirku.
“Ambil lah” Aku menjuihkan bibirku pada coklat Rana. Mahal coklat ini.
“Betul ke aku boleh ambil ni?” Sahabat serumahku itu, Na’em bertanya. Aku mengangguk sahaja.
“Ish, kecewa la nanti minah ni” Na’em berseloroh. Aku nampak dia membelek-belek kotak coklat atas meja bulat jepun itu.
Aku tersengih. “ Kecewa apa pula. Ada banyak lagi lelaki lain dalam dunia ni” Kalau kecewa pun lagi bagus.
Aku hairan, kalau Rana itu sudah boleh dikatakan agak baik la juga. Perempuan lain, aku lihat tanpa segan silu keluar dengan pasangan mereka. Kononnya meraikan Hari Valentine. Pening kepala aku. Aku tak tahu la kalau ada ahli PERMAI yang menyambutnya juga. Aku minta jauh la.
“Perempuan ni suka pada kau. Bukan pada orang lain. Kalau tak, mana la nak bagi coklat pada hari Valentine ni” Na’em terus berceloteh.
“Ana bukan sambut pun hari valentine ni”
“Eh kenapa? Rugi tau” Na’em memfokuskan pandangannya kepadaku.
“Ru… gi?” Aku mengangkat kening sebelah.
“Ya  la. Hari ni lah orang nak bermadu asmara, meluahkan cinta. Kau seorang diri pula, tak sambut dengan sesiapa pun. Hari ni semua orang keluar dengan pasangan masing-masing. Aku tengok di JUST tu, ramai yang duduk dua-duaan, pegang-pegang tangan. Romantik gayanya” Na’em menyatukan kedua tangannya, dan meletakkan ke dada, bersama muka penuh perasaan.
Aku tergelak sambil menggeleng kepala. Lebih-lebih pulak mamat Na’em ni.
“Banyak la enta. Buat macam tu tak syara’ tahu. Allah tak suka.”
“Ya la, itu yang tak tahu syara’ buat macam tu.Takkan la kau yang kuliah syariah nak buat macam tu. Tapi sekurang-kurangnya pergi la keluar makan bersama ke, sembang ke, janganla bergesel-gesel pegang-pegang tangan” Na’em memberikan cadangan.
Aku ketawa kecil. “Sama la tu. Haram juga”
“Aik, tak sentuh tangan pun haram?”
“Ulama menggariskan, al-aslu fi ikhtilat, haram. Maksudnya, asal dalam permasalahan percampuran lelaki perempuan adalah haram. Melainkan ada sebab yang darurat serta tidak menimbulkan fitnah. Kalau dah keluar sama-sama, makan sama-sama, sembang bukan main lagi, tak sentuh tangan pun haram juga.”
“oh, begitu ke?”
“Ya la, Allah SWT berfirman: “Jangan kamu dekati zina…” Surah Al-Israa’ ayat 32
“Sentuh tangan, keluar dua-dua, sembang-sembang, bukan zina la” Na’em menyangkal.
“Ya, tetapi cuba kau tengok balik arahan Allah SWT. Allah kata: Jangan kamu dekati. Jadi, macam mana? Sentuh tangan, keluar dua-dua, sembang macam tiada batas pergaulan, bukankah itu semua antara lubang-lubang pembuka kepada zina?”
Na’em terdiam. Mungkin akalnya baru berfikir logika itu.
“Kenapa? Enta buat jugak ke macam yang enta cerita tu?” Aku memandang Na’em.
Na’em menggeleng. “Eh, tak la. Belum lagi la. Tapi ingatkan boleh. Ingatkan kalau ada perempuan nak masuk, aku nak ambil je. Mujur kau cerita. Kalau tak, naya aku. Untung la aku ni serumah dengan kau”
Aku tersengih. “Enta tahu tak, semenjak ana kenal dengan enta, ana sambut juga 14 Februari ni”
Mata Na’em membesar. “ Loh, tadi kata tak boleh”
Aku tersenyum. “ Tapi ana tak sambut la Valentine, ana sambut….” Aku menarik beg, mendekatkan pada diriku dan membuka zipnya. Sebuah kotak sederhana besar, yang terbalut kemas kukeluarkan.
Susah payah aku beli benda ini di kedai Syu Hilu sebelah kedai Mandi Yamani lepas kuliah tadi.
“ Nah. 14 Februari, birthday enta yang ana sambut” Aku menghulurkan hadiah itu.
Na’em terdiam. Dia nampak kelu. Aku melihat, matanya memandang hadiah pada  tanganku itu.
“Kenapa? Teharu?” Aku bertanya.
Na’em tersenyum. “Terharu la seh. Kau ni susah-susah je. Tak sangka kau ingat” Tangannya mengambil hadiah.
“Dari ana ingat Hari Valentine yang entah apa-apa ni, ingat hari lahir sahabat lagi bagus. Dapat pahala.” Aku memandang ke arah lain.
“Betul jugak ya. Baguslah kau. Ni yang aku sayang kau lebih ni” Na’em mendekati aku dan melagakan pipinya dengan pipiku.
“Uhibbukafillah” Aku menyebut kata-kata kasih sayang kerana Allah di dalam bahasa arab.
“Moga dengan umur yang ALLAH beri kepada enta, enta akan lebih kuat untuk berusaha mendekatiNya” Aku menepuk belakang tubuhnya.
“ Em, aku akan ingat pesan kau. Uhibbukafillah kaman” Aku menyayangimu kerana Allah juga. Kata-kata itu terlafaz dari bibir Na’em. Hatiku jadi kembang dengan rasa tenang. Senang ada sahabat yang berusaha untuk menjadi baik seperti Na’em di sisi.
Walaupun Na’em tidak mengambil jurusan agama, tetapi dia mempunyai kesungguhan untuk mendalami dan mempraktik gaya hidup Islam di dalam kehidupannya. Dia sentiasa haus dan dahaga dengan fikrah Islam, dan praktis hidup Islam yang menyenangkan.
“Eh, tak apa ke aku cakap aku kau dengan kau? Kau pakai ana enta ni”
“Tak pe, enta nak aku hang dengan ana pun boleh”
“Kau tak akan rasa pelik?”
“Nak rasa pelik apanya? Benda cabang aja pun. Bukan benda usul. Lain la enta kata solat itu tak wajib, ha… itu aku bising la”
“Baguslah kau ni. Tapi aku janji, nanti lama-lama, aku akan usaha juga cakap ana enta dengan kau”
“No hal beb. Utamakan benda yang usul dulu.”
Aku secara jujurnya, rasa bersyukur serumah dengannya. Hadirnya Na’em membuatkan aku rasa lebih bersungguh untuk mempertingkatkan diri.
Inilah dia antara cinta yang tinggi, yang disediakan oleh Islam, tetapi tidak dilihat oleh masyarakat. Rasa cinta, hubungan kasih sayang berdasarkan iman dan taat kepada Allah SWT. Malah ganjaran untuk cinta seperti ini juga lumayan.
Rasulullah SAW ada bersabda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah SWT, pada  perkumpulan manusia di padang Mahsyar nanti. Salah satu golongannya, adalah seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW,
“Dua orang yang berkasih sayang kerana ALLAH, bertemu dan berpisah hanya keranaNya” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Dan rasa bahagia dari cinta ini melebihi segala-galanya.
“Eh, makan malam kita hari ini aku belanja la.” Na’em mengeluarkan aku dari lamunan.
Aku mengangkat kening. “Enta punya hari lahir, kenapa pula enta yang belanja?”
“Weh sedara, kau tu budak persendirian, aku ni ada biasiswa JPA. Kejam la aku kalau kau yang belanja. Dah la kau bagi hadiah untuk aku. Kau punya hari lahir pun aku tak bagi apa-apa” Na’em mencubit hidung aku.
“Ana ada duit royallti nasyid-nasyid ana la. Apa salahnya ana belanja” Aku sebenarnya merupakan penasyid sambil belajar di Universiti Yarmouk, Jordan. Nasyid-nasyid aku mendapat sambutan hangat. Nasyid tanpa instrumen, satu fenomena baru di Malaysia.
“Ish, degil kau ni ya. Aku kata aku nak belanja, aku la belanja. Ingat aku ni tak ada perasaan ke?”
“Enta ni ada perasaan juga rupanya” Aku bercanda.
“Kau ingat aku ni robot macam dalam cerita terminator tu ke?” Na’em mencubit hidung aku dengan lebih kuat.
“Adeh, adeh. Ok, ok, enta belanja. Surrender” Aku mengangkat tangan.
Kami berdua ketawa bersama.
“Hu hu. Aku ingat la kan, kalau orang tengok kita, silap hari bulan orang ingat kita ni gay”
Aku ketawa. Gay atau dalam kata lainnya adalah homoseksual, hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki. Zaman hari ini sudah rosak. Kalau tiada teman wanita pada usia seperti aku, maka orang akan terus menuduh sebagai gay. Kalau nampak dua lelaki keluar bersama, berukhuwwah, mesra, dan rapat, terus sahaja dituduh sebagai homoseksual. Pada aku, inilah bukti serangan pemikiran barat yang telah berjaya dalam kehidupan masyarakt. Dengan wujudnya  ideologi sedemikian, maka pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan menjadi lebih galak.
Bahkan, aku ada membaca di internet, sebuah akhbar Malaysia yang menyatakan bahawa untuk remaja perempuan hari ini, adalah aib jika dia masih dara pada usia 20-an. Aku hampir sahaja tidak percaya. Aib menjaga maruah diri? MasyaAllah. Tak hairanlah, hari valentine menjadi hari yang paling banyak anak gadis kehilangan dara mereka. Mungkin rata-rata meletakkan kalimah cinta untuk menghalalkan segala-galanya.
“Kalau ana gay, menangislah bakal isteri ana”
“Aiseh, kau ada buah hati ke?”
Aku angkat kening dua kali. “Tak boleh ke?”
“Tadi kau kata, semua perkara yang mendekati zina tak boleh. Habis kau ada buah hati ni, macam mana pula?”
Aku tersengih. “Suka tu, fitrah manusia. Islam meraikan juga fitrah manusia  itu. Tetapi ada cara yang ditetapkannya. Kalau dalam kes ana, ana jatuh hati pada perempuan itu, tapi kami tak pernah berhubung pun. Cuma ana kalau ada apa-apa hal, abang, mak atau ayah dia la yang menjadi orang tengah.”
“Wah… Aku tak tahu pun. Kau simpan je ya selama ni”
“Buat apa ana nak heboh. Belum kahwin lagi. Biarlah ana dengan keluarga dia sahaja yang tahu buat masa ni”
“Dia tak cakap apa-apa ke sempena valentine ni?”
Aku menggeleng. “Dia pun sama macam ana. Bukannya sambut valentine. Lagipun, tak main la bercinta lalu hari valentine ni. Buat apa. Cinta patut hari-hari la.”
“Ya la, tapi kita kena la ada satu hari yang nak dijadikan kemuncak. Dah terlanjur ada hari valentine, apa salahnya kita tumpang”
“Apa salahnya tumpang ya… Enta tahu tak, Rasulullah SAW ada bersabda yang menyatakan bahawa barangsiapa yang mengikuti tindak tanduk sesuatu kaum itu, maka amalnya itu tertolak dan tidak dikira”
“Ya ke?”
Aku mengangguk. Hadith itu adalah dari riwayat At-Tirmidzi.
“Ish, aku ni jahil la. Nasib baik kau ada”
“Tak mengapa. Kalau tak tahu, kita belajar”
Na’em tersenyum.
“Tambahan, kalau mengikut pengetahuan ana mengenai valentine ni, semua sumber yang menyatakan asal-usulnya, menceritakan bahawa hari valentine ni berasal dari upacara keagamaan orang kristian” Aku menjelaskan.
“Oho.. Ya ke. Tak tahu pula aku. Ei.. terima kasih banyak la” Na’em menepuk belakang tubuhku.
“Tak mengapa. Kita muslim ni macam satu bangunan. Kena saling sokong menyokong. Nanti ana ada masalah kesihatan, enta pulak kena bantu”
“Habis kan, kalau kau tak sambut valentine, kau nak cakap kau cinta pada buah hati kau macam mana?”
Aku senyap.
“Nanti orang kebas, kau kecewa menonggeng seorang diri”
Aku memandang Na’em.
“Lepas tu, mesti buah hati kau sunyi. Kau tak hubungi dia, sedangkan keliling dia, semua orang sambut valentine. Dia tak rasa apa-apa ke? Kurang-kurang ada kesan juga kan?”
“Dia solehah, takkan la terkesan dengan benda-benda macam ni”
“Bukan semua orang macam kau kawan” Na’em menolak.
Aku diam.
“Perempuan pulak lain. Emosi lebih, senang terganggu. Tambahan, IPT di mana-mana tempat sekarang banyak benda bukan-bukan berlaku. Hubungan bebas tu biasa je. Baik kat Malaysia, mahupun di luar negara. Kau punya buah hati tu selamat ke rasanya? Ha…”
Kata-kata Na’em mengetuk sesuatu dalam hatiku. Aku memandang Na’em.
“Enta ni doktor psikologi je, atau doktor perubatan?” Aku cuba berseloroh.
Na’em tersenyum. “Kau ni kuat bergurau ya. Dah la, aku nak pergi bersiap ni. Aku nak ikut kau pergi masjid hari ni. Maghrib pun dah dekat. Lepas maghrib, kita pergi makan di Yamani bawah tanah. Aku belanja ka”
Hidung aku dicubit sekali lagi. Aku menutup mata atas gerakannya itu. Cubitannya dilepaskan, kemudian aku membuka mata, Na’em sudah masuk ke bilik. Aku terfikir kata-katanya tadi.
“Bukan semua orang macam kau kawan”
“Perempuan pulak lain. Emosi lebih, senang terganggu. Tambahan, IPT di mana-mana tempat sekarang banyak benda bukan-bukan berlaku. Hubungan bebas tu biasa je. Baik kat Malaysia, mahupun di luar negara. Kau punya buah hati tu selamat ke rasanya? Ha…”
Aku melepaskan keluhan berat.
Dia macam mana agaknya?
Betul tak terkesan ke?


*********


Pukul 5.30 malam. Solat isya’ telah lama selesai. Aku merehatkan diri di atas katil. Perut masih kekenyangan, diisi dengan kabsah sebelum solat isya’ tadi. Waktu masih awal.
Saat ini, waktu malam di Jordan sudah menjadi panjang. Keadaan ini adalah situasi yang biasa ketika musim sejuk, atau di dalam bahasa arabnya, syita’. Kebelakangan ini, pukul 2.15 petang sudah asar, kemudian pukul 4.00 petang sudah masuk waktu maghrib. Pukul 5.00 sudah masuk waktu isya’. Subuh pula adalah pada pukul 5.00 pagi, dan zuhur adalah pada pukul 11.30 pagi.
Hidup di negara yang sering sahaja berubah waktu solat ini, memerlukan jiwa yang sensitif dalam melaksanakan ibadah fardhu itu. Solat awal waktu yang dituntut oleh Rasulullah SAW akan menjadi sukar untuk dilakukan sekiranya aku tidak sensitif dengan perubahan waktu di sini.
Saat ini, aku teringatkan Malaysia. Musim sejuk menjadikan perbezaan waktu antara Jordan dengan Malaysia bertambah sejam. Pada musim panas, waktu Malaysia adalah awal lima jam berbanding waktu Jordan. Tetapi pada musim sejuk, waktu Malausia akan menjadi awal enam jam berbanding waktu Jordan. Justeru, sekarang waktu di Malaysia adalah 11.30 malam.
Aku memandang telefon bimbit nokia N-Gage pemberian seorang sahabat. Itu adalah telefon lama yang diberikan secara percuma, sebagai tanda ukhuwwah, cinta dan kasih sayang atas dasar iman dan Islam. Sebab itulah aku amat menghargai cinta di dalam Islam. Cinta yang tak terbatas hanya kepada perempuan, tetapi mencintai segala-galanya dalam rangka mendapat keredhaan Allah. Inilah dia cinta yang tidak dibatasi hanya dengan satu hari, serta mendatangkan kebahagiaan yang amat menyenangkan hati. Pahala pun dapat.
Nombor hubungan tertera di skrin telefon bimbit. Tiga huruf, I, B dan U tertera dalam satu kalimah di atas nombor telefon.
Aku berkira-kira. 11.30 malam, adakah orang di Malaysia sudah tidur?
“Ah, tak rugi cuba” Aku menguatkan tekad. Aku menekan butang dail. Corong suara kudekatkan pada telinga.
Beberapa ketika aku menunggu, kedengaran talian di sana terangkat.
“Assalamu’alaikum, siapa ni” Satu suara lembut mulus menjawab.
Aku terdiam.
“Siapa?” Suara itu kedengaran lagi.
Hatiku bergetar.
“Hello, siapa ni?”
“Eh.. biddi atakallam ma’a ummik” Saya ingin berbicara dengan ibu kamu? Aku bertutur dalam bahasa arab.
“huh? Sorry mister, wrong number” Suara itu menjawab sopan.
“Ah…” Aku hendak bercakap memperkenalkan diri, tetapi belum sempat aku meneruskan kata-kata, kedengaran satu suara dari corong telefon.
“Siapa tu Naseeha?” Dan suara itulah yang aku hajat untuk berbicara dengannya.
“Entahlah ummi, orang arab mana entah yang telefon”
“Ah, bagi pada ummi”
Kedengaran pada corong, bunyi ganggang bergalih tangan. “Siapa ni?” Suara serak basah kedengaran.
“Makcik Asiah, ni Kimi” Kimi, nama panggilan aku, singkatan dari nama penuh ku, Hakimi.
“Aha… ‘afwan. Tobakhtu fi matbakh” Maafkan saya, saya tadi memasak di dapur. Itu maknanya.
Aku tersenyum simpul sendirian di atas katil mendengar jawapan ibu itu. Dia adalah seorang guru kelas tambahan yang mengajar bahasa arab. Aku yakin dia menjawab dalam bahasa arab juga adalah untuk mengelak dari diragui oleh anaknya yang bernama Naseeha tadi.
“Mak kenal ke arab tu?” Kedengaran suara Naseeha.
“Ha. Mak kenal. Dia baik dengan mak. Naseeha tolong tengokkan biskut di dapur. Takut hangit pula”
“Baik”
Tidak lama kemudian, perempuan itu menyambung. “Kimi apa khabar?”
Aku tersenyum. “Kimi sihat makcik. Makcik apa khabar?”
“ Makcik sihat.”
Aku diam sebentar.
“Naseeha tak tanya ke, dia sihat ke tak?” Makcik Asiah menyakat.
Aku tersengih. Wajah aku panas. “Segan la makcik.”
Kemudian aku dapat mendengar Makcik Asiah ketawa kecil.
“Kenapa tiba-tiba telefon malam macam ni? Ni mesti ada apa-apa ni. Rindu pada Naseeha ke?” Tepat ibu itu meneka.
Aku ketawa. “Makcik ni, saya rindu pada makcik la” Cuba bergurau.
“ Elelele. Jangan nak bohong la Kimi.”
Aku terus ketawa senang. “Buat apa di dapur tengah-tengah malam ni?”
“Naseeha tu ha yang gatal sangat nak buat biskut untuk dibawa pulang ke univeristi esok”
“ Ooh. Lepas tu, makcik yang masak?”
“Dialah yang buat acuan, makcik tinggal masukkan dalam oven sahaja. Kenapa? Nak suruh dia pos untuk kamu di sana?”
Aku ketawa lagi. Makcik Asiah memang pandai bergurau. Tak sempat sampai, biskut dah hancur agaknya.
“Tak adalah. Saya sengaja telefon. Rindu la makcik”
“Ha, kan makcik dah cakap. Ala, kamu tinggal setengah tahun sahaja lagi di sana kan? Mak ayah kamu kata mereka nak datang hujung bulan ni. Nak masuk meminang.”
“Em. Kimi Tahu”
“Habis, telefon ni nak pastikan Naseeha selamat la tak kena kebas orang?”
“Ha ha.. Makcik ni ada-ada sahaja.” Selamba betul bakal mertua aku ini.
“Berjiwa muda la katakan”
Aku tersenyum lebar dengan gaya Makcik Asiah berbicara. Dia memang mesra dengan aku dan melayan aku dengan baik. Kepadanya, aku luahkan segala rasa hatiku terhadap anaknya yang bernama Naseeha. Aku tidak pernah lagi berhubung dengan Naseeha, keluar makan, menghantar hadiah atau melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh muda mudi zaman sekarang dalam alam percintaan mereka. Kalau ada apa-apa hal, rindu, atau risau, maka makcik Asiah menjadi tempat aku untuk meluahkan segalanya.
“Kamu telefon ni, kamu sambut valentine juga ke? Hari ni Valentine Day kan?”
“Ish, tak ada lah makcik. Buat apa nak sambut perayaan yang asal usulnya  dari agama lain?”
“Ha.. Manalah tahu skru kepala kamu longgar ke, boleh ,makcik tolong ketatkan.”
“Kalau betul longgar, baik saya e-mail terus anak makcik”
“Ha.. gembira  la dia, penasyid terkenal Malaysia yang dia suka e-mail terus dengan dia”
“ Ha ha.. Dia minat ke lagu-lagu saya makcik?”
“Kalau kat rumah, lagu kamu sahajalah yang berkumandang.”
“Ni kalau mak ayah saya masuk meminang, agak-agak dia terima ke?”
“Kalau dia tak ada sakit jantung pun, dia mesti terkejut dan gembira teramat sangat”
Aku tersengih. Ada-ada sahaja Makcik Asiah ni. Selamba rilek betul.
“Kimi telefon bukan sebab apa, sengaja je nak tanya khabar Naseeha”
“Ha.. kan betul makcik cakap. Makcik ni pelakon tambahan je”
“Ha ha.. Ada-ada je makcik ni. Kimi sayang juga la dengan makcik”
“Ha, tu baru namanya anak menantu. Kamu tak ada apa-apa nak pesan ke?”
“Em, tak adalah kut. Tapi hajatnya, makcik pesan la pada Naseeha supaya jaga diri. Jangan terpengaruh dengan suasana masyarakat hari ini. Saya telefon ni sebab takut dia terkesan dengan suasana hari ini yang memang penuh dengan unsur-unsur jahiliyyah. Kimi risau la makcik”
“Oh. Kalau macam tu, Kimi jangan risau. Hari ni, dia dari pagi pergi daurah Isteri Solehah kelolaan HALUAN Malaysia. Lagipun dalam kepala dia, mana ada valentine yang entah apa-apa ni.”
“Ya ke makcik? Senang hati Win dengar. Makcik memang pandai jaga anak. Daurah Isteri Solehah? Menarik tu”
“Makcik nak dia matang sikit mengenai pembinaan keluarga muslim. Supaya kamu nanti hidup bahagia, dan bercinta betul-betul atas dasar iman dan Islam”
“Alhamdulillah. Lapang hati saya dengar makcik cakap begitu. Win juga akan usaha tingkatkan diri makcik. InsyaALLAH Win tak akan sia-siakan kepercayaan makcik.”
“ Itulah yang makcik nak dengar. Ha, ni kamu telefon lama-lama ni, tak mahal ke kena bayar? Tahulah duit royalti lagu-lagu kamu tu banyak, tapi berjimatlah”
“Saya tahu makcik. Tapi Syarikat Telefon Orange di Jordan ni buat promsi, dapat percuma 12 dinar. Tambahan teringat Naseeha, jadi Kimi telefon la”
“Em. Kamu jangan risau lah Kimi. Banyakkan munajat kepada Allah agar semuanya terjaga. Binalah cinta kamu pada Naseeha itu, atas cinta kamu kepada-Nya. Itu jaminan ke syurga Kimi. Kesabaran kamu menjaga hubungan ni untuk terus berada atas landasan syara’ Allah akan bayar. InsyaAllah makcik juga akan buat yang terbaik untuk jaga anak makcik ni.”
“Terima kasih makcik. Win akan ingat pesan makcik. Win akan jaga diri dan hati Win.”
“Baik. Jaga diri baik-baik. Belajar rajin-rajin. Studi sungguh-sungguh. Tunjukkan manusia yang bawa Islam ni berkualiti dalam semua lapangan yang dia ceburi”
“Baik makcik. Jumpa nanti. Kirimkan salam pada pakcik.”
“Dengan Naseeha tak nak kirim salam?”
“Ha ha… Cakapla yang kawan arab makcik kirim salam pada dia”
Kedengaran suara makcik Asiah ketawa. “InsyaAllah, makcik akan sampaikan. Dan lepas ni Win kena panggil makcik, ummi tahu”
Aku tersenyum. “ baik ummi”
“Aha.. macam tu baru sedap dengar. Baik, Assalamu’alaikum”
“ Wa’alaikumussalam”
Butang penamat dail kutekan.
Hati lapang. Walaupun cinta mengikut jalan syara’ ni menguji ketahanan diri dengan menghindari nafsu, tetapi aku yakin yang cinta sebegini adalah cinta yang bersih, cinta yang melapangkan hati dan cinta yang terjaga. Cinta atas dasar keimanan kepada Allah SWT.
Kalau syurga itu hebatnya sehingga tidak terbayang dek fikiran manusia, nikmatnya langsung tidak pernah terlintas di hadapan mata, maka apakah ia boleh dicapai dengan bersenang lenang bergoyang kaki?
Mustahil. Mestilah kena ada susah payahnya. Itulah dia mahar ke syurga sana.
Valentine tidak pernah kupandang sebagai hari cinta. Hakikatnya, hari ini cinta telah direndahkan serendah-rendahnya. Bagaimana agaknya cinta manusia yang tidak menjaga hubungannya dengan Allah? Agaknya bagaimana keluarga mereka? Agaknya bagaimana kehidupan mereka? Tidakkah mereka memikirkan akhirat mereka?
Apakah cinta dua orang manusia, yang sibuk bermadu asmara sehingga tidak menghiraukan waktu solat, yang tidak kisah akan batas-batas pergaulan, yang langsung tidak menjaga sensitiviti masyarakat, akan membuahkan kebahagiaan yang sebenar?
Perbuatan-perbuatan hodoh sebeginilah yang membuatkan cinta dipandang sebagai perkara yang murah dalam kehidupan manusia. Tindakan pasangan-pasangan yang kononnya mencontohi cinta Paderi Valentine inilah yang mencemarkan cinta. Hatta jika mengikut sejarah dan sumber yang mahsyur, Valentine sendiri tidak meraikan Hari Valentine seperti yang dirayakan oleh muda mudi hari ini.
Sedangkan, hubungan lelaki perempuan hakikatnya adalah hubungan suci, yang dikhaskan oleh Allah untuk suami dan isteri. Hubungan dua manusia, untuk melahirkan zuriat mereka bagi meneruskan kesinambungan hidup di dunia ini. Kalau hubungan cinta itu sendiri dirosakkan dengan hubungan lelaki perempuan yang kotor, luar batasan syara’, bagaimana agaknya kesinambungan dunia selepas ini?
Tapi semuanya dihalalkan atas satu kalimah bernama cinta. Sehingga ada satu kata-kata,
“Kerana cinta, kugadaikan segalanya”
Habis dengan maruah pun digadainya. Inilah yang menyebabkan cinta dipandang rendah, dan manusia terkelambu dari makna cinta yang sebenar.
Pada aku, cinta yang sebenar, hanyalah cinta yang mengikuti landasan yang Allah tetapkan. Cinta yang kekal hingga ke syurga. Cinta yang dapat merentasi akhirat. Cinta yang dapat melepasi titian sirat.
Aku jadi teringat akan satu sirah.
Satu hari, seorang perempuan bertanya kepada Rasulullah SAW. Dia berwajah sedih. Bila ditanya mengapa, dia menjawab bahawa, di akhirat nanti, dia akan berpisah dengan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pastinya akan memasuki syurga yang tertinggi. Sedangkan dia sebagai manusia biasa, kalau masuk syurga pun mustahil tempatnya setaraf dengan Rasulullah SAW. Hal itu menyebabkan dia sedih, kerana cintanya amat mendalam terhada Rasulullah SAW.
Ketika itu Rasulullah SAW senyap sahaja. Kerana dia juga tiada jawapannya. Tetapi tidak lama kemudian, wahyu turun dan ALLAH memberikan jawapan. Rasulullah SAW tersenyum, lalu bersabda,
“ Sesungguhnya kau akan bersama dengan orang yang kau cintai di akhirat nanti”
Itulah dia cinta yang aku cuba capai. Cinta yang kekal hingga ke akhirat. Cinta yang asasnya adalah iman dan buahnya adalah taqwa kepada ALLAH.
Tetapi apakah cinta sedemikian difahami oleh masyarakat hari ini.


********


“ Assalamu’alaikum akhi…” Suara lembut Rana kedengaran.
Aku memandang perempuan berpurdah itu. Hari ini, dalam dewan 305, aku sekali lagi mempunyai kuliyyah bersama dengannya dalam madah Sunnah.
“Waalaikumussalam. Hal yujad syai ma’i?” Ada apa-apa ke dengan saya?
Rana menggeleng. “Keif cokolati?” Macam mana dengan coklat saya? Dia bertanya.
Aku tersenyum. “Mush ‘araftu, li anna sodiqi fil beit akala coklatuki”
“Limaza? Tilka coklat laka” Kenapa? Coklat itu untuk awak. Nampak kecewa nadanya.
“Afwan. Ma biddish coklatuki” Maaf, saya tak mahu coklat awak. Aku menjawab sopan.
“Mush tuhib?” Kamu tak suka? Rana bertanya dengan gaya risau.
“La. Walakin inno ma hafaltu valentine” Tidak, tetapi sesungguhnya saya tak menyambut valentine. Aku cuba menerangkan.
“Oo.. walakin inni uhibbuka. Laisa li annani ahfalu valentine”  Oo, tetapi sesungguhnya saya cintakan awak, bukan sebab saya nak sambut Valentine. Rana tetap tidak mahu mengalah, terus berterus terang.
“Afwan, yujad afeefah solihah fi qolbi, wa hia qurratu li sodri.” Maafkan saya, sudah ada perempuan yang solehah dalam kalbu saya. Dan dia adalah penyejuk jiwa saya. Aku menjawab yakin.
Rana senyap.
“Rana, al-aslu fi ikhtilat haram. Iza la yujad syai’ doruri, lan taqrobiini. Enti muslimah solehah insyaAllah, tafham kalami wadhihan”  Rana, asal untuk percampuran adalah haram. Kalau kamu tiada perkara penting, janganlah sekali-kali mendekati saya. Kamu ni perempuan muslimah yang solehah, pasti kamu faham kata-kata saya dengan jelas. Aku bertegas.
“Allahumma yu’tiki sakeenah wal ‘afiah” Semoga ALLAH memberikan kepada kamu ketenangan dan kebaikan.
Kemudian aku terus melangkah pergi, meninggalkan Rana tanpa memandangnya.
Dalam menjaga prinsip Islami yang aku pegang, aku perlu bertegas. Menjaga cinta yang ALLAH curahkan dalam jiwaku.
Dan Valentine turut pergi, bersama-sama dengan cinta yang diagung-agungkan manusia yang meraikannya. Cinta berasaskan valentine semata-mata, atau suka-suka dunia semata, tidak akan ke mana. Berapa ramai manusia telah merendahkan maruah diri mereka semalam.
Aku hendak terus melangkah ke arah cinta yang bersih, dan menyenangkan jiwa. Di dalamnya  hanya ada bahagia, dan tiada pula kecewa. Tribulasi di dalamnya adalah ibadah, dan kesenangannya di dalamnya adalah hadiah.
Valentine pergi, tetapi cintaku tetap mekar seiring masa yang terus bergerak mengelilingi diri. Cinta kepada ALLAH, membuahkan cinta-cinta lain yang bersemi dengan indah dan bertahan dengan gagah.
Cinta kepada ALLAH lah sebenarnya yang menggerakkan cinta-cinta yang lain dalam kehdiupan manusia. Inilah sebenarnya cinta yang hakiki!