~ Senaman untuk ibu hamil ~

RAMAI wanita aktif bertukar pasif apabila mendapati diri mereka berbadan dua.

Segala-galanya berubah dan aktiviti seharian yang sebelum ini penuh dengan pelbagai agenda turut dibatalkan hanya semata-mata bimbang anak dalam kandungan terjejas. Tambahan pula jika kandungan tersebut merupakan anak sulung. Kalau sebelum ini mengunjungi gimnasium antara agenda yang menjadi kewajipan wanita berkenaan tetapi kini tidak lagi. Keadaan menjadi bertambah rumit apabila anggota keluarga merupakan pendorong utama mereka bertindak sedemikian rupa.

Kepercayaan dan amalan karut seharusnya dihindarkan khususnya kepada pasangan muda yang masih tidak punya pengalaman. Bagi bakal-bakal ibu terutama wanita muda yang mengandung anak pertama, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada doktor mengenai penjagaan bayi dalam kandungan supaya sentiasa sihat dan aktif. Walau di mana anda berada sama ada di kampung atau di bandar, kesedaran perlu disemai bagi mewujudkan persekitaran hidup sihat tanpa wujud rasa sangsi dan curiga pada sesuatu perkara baru yang mendatangkan manfaat bersama.

Menurut Instruktor Senaman, Alex Eversden, ibu mengandung bukan sahaja perlu menitikberatkan penjagaan bentuk badan terutamanya selepas melahirkan anak bagi mendapatkan bentuk tubuh yang asal tetapi mereka juga mesti memberi keutamaan terhadap perkembangan bayi dalam kandungan.
Beliau memberitahu, amalan senaman sewaktu mengandung sebenarnya berupaya membantu ibu-ibu mendapatkan bentuk tubuh yang sempurna selepas melahirkan anak.

``Melakukan senaman semasa mengandung sebenarnya bukan sahaja memberi kelebihan kepada seseorang wanita memahami keadaan tubuh mereka tetapi ia juga memastikan kandungan mereka berada dalam keadaan normal,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini. Kata beliau lagi, wanita mengandung turut dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan doktor sebelum mengikuti program senaman yang disediakan. Perlu diingat, setiap kali senaman dilakukan jangan ia sampai membebankan diri sendiri kerana latihan yang diberi bukan bertujuan untuk mencederakan wanita terbabit dan menimbulkan rasa tidak selesa. Sekiranya amalan senaman dipatuhi seperti yang telah diarahkan, dengan secara tidak langsung ia membantu melancarkan peredaran darah pada jantung, pernafasan yang normal dan memelihara sistem metabolisme wanita mengandung.

Selain itu, senaman turut membantu meningkatkan peredaran darah dalam tubuh (melebihi 30 peratus), meningkatkan kadar degupan jantung dan mengawal tekanan darah.
``Ibu mengandung juga akan berasa lebih cergas dan membantu mereka berasa selesa di bahagian pelvis serta mengurangkan ketegangan pada anggota tubuh badan,'' ujarnya.
Alex berkata, selain untuk keseimbangan hormon, senaman turut membantu wanita berkenaan menyesuaikan diri mereka dengan saiz buah dada yang semakin membesar.
Katanya, aktiviti senaman boleh menguatkan otot-otot rahim supaya dapat menampung perkembangan kandungan yang semakin membesar dari bulan ke bulan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan bakal-bakal ibu mengikuti kelas yang menggunakan teknik senaman dalam air.
``Cara ini telah diamalkan sejak zaman Greek dan Roman lagi malah menerusi teknik ini paras air yang mencecah hingga ke bahagian dada membantu menyokong berat badan ibu mengandung sebanyak 85 peratus,'' kata beliau.
Teknik senaman tersebut juga membantu wanita mengandung mengurangkan tekanan dan ia juga berupaya mengawal suhu badan manusia.
Pergerakan air membantu meningkatkan stamina dan memberikan ketenangan kepada wanita mengandung malah ia turut berfungsi membakar lemak serta mengurangkan kandungan kalori dalam badan.
Bagaimanapun, ibu mengandung yang mengamalkan aktiviti seumpama itu dinasihatkan supaya tidak melakukan senaman ketika cuaca panas, melakukan rawatan spa, mandi sauna dan jauhkan diri daripada persekitaran yang boleh menyebabkan suhu badan meningkat.
Sementara itu, mereka diingatkan supaya tidak melakukan senaman yang terlalu berat dan kurangkan aktiviti riadah sewaktu usia kandungan berada pada minggu ke-28.
Wanita mengandung tidak digalakkan melakukan senaman yang membabitkan posisi badan dalam keadaan baring pada jangka waktu dua hingga tiga minit kerana ia akan mendatangkan kesan terhadap bekalan darah kepada bayi.

No comments:

Post a Comment